Home » Langit Terbuka » MAIWP berhak laksana audit dana

MAIWP berhak laksana audit dana

Dalam kes IKSIM, MAIWP bertanggungjawab memastikan bantuan dana zakat yang diberi hendaklah dibelanjakan sebagaimana tujuan permohonan, jelas Bahagian Komunikasi Korporatnya - Foto TribuneNews

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhak melaksanakan audit dana yang disalurkan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), seperti mana yang sudah dilakukan kepada beberapa pihak lain.

Unit Komunikasi Korporat MAIWP, berkata kelulusan yang diberi kepada pihak lain adalah kelulusan bersyarat iaitu tertakluk kepada Laporan Perbelanjaan yang perlu dikemukakan termasuklah oleh pihak IKSIM.

“Adalah dimaklumkan bahawa MAIWP pada tahun 2015 hingga 2018 menyalurkan dana kepada IKSIM yang mana ianya tertakluk kepada kepada Kaedah-kaedah Baitulmal (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Perbelanjaan dan Penggunaan) 1980.

“Sebagai pemegang amanah, MAIWP bertanggungjawab memastikan bantuan dana zakat yang diberi hendaklah dibelanjakan sebagaimana tujuan permohonan.

“Atas dasar kebertanggungjawaban ini, maka MAIWP berhak melaksanakan audit atas dana yang disalurkan sebagaimana yang telah dibuat kepada beberapa pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini (7 Mei).

Mengulas mengenai proses audit, MAIWP sudah menyerahkan pengauditan terakhir yang 17 Julai 2018 kepada ahli lembaga pengarah IKSIM untuk tindakan lanjut.

“MAIWP difahamkan IKSIM kini dalam proses penggulungan dan ahli lembaga pengarah IKSIM juga melantik firma audit bertauliah bagi melaksanakan audit forensik terhadap pemerhatian yang dibangkitkan oleh Audit Dalam MAIWP .

“MAIWP juga tidak lagi menyalurkan sebarang dana kepada IKSIM dan sebarang tindakan lanjut adalah di bawah tanggungjawab ahli lembaga pengarah IKSIM,” katanya.

Sebuah portal semalam melaporkan IKSIM menolak audit yang dilakukan MAIWP atas alasan badan itu tidak berada bawah bidang kuasanya.

Menerusi satu surat, portal itu melaporkan, IKSIM menolak audit itu berikutan mereka bukan anak syarikat MAIWP kerana dibentuk sebagai sebuah syarikat pada 2014, dan sudah diaudit.

MAIWP sebelum ini berkata, pihak mereka mempunyai kuasa memerintahkan audit kerana majlis agama itu sudah memindahkan RM10 juta kepada IKSIM pada Januari 2018. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *