Home » Langit Terbuka » Majlis agama negeri disaran wujud undang-undang tadbir kewangan masjid, surau elak salah guna

Majlis agama negeri disaran wujud undang-undang tadbir kewangan masjid, surau elak salah guna

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada sidang media selepas majlis Peluncuran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS) Selangor. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) majlis agama negeri mewujudkan undang-undang khusus mentadbir pengurusan kewangan rumah ibadat khususnya masjid dan surau, yang dikesan terlalu mudah diseleweng oleh ahli jawatankuasa dilantik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata isu pengurusan dana dan kewangan di rumah ibadat perlu diberi lebih perhatian oleh pihak berkuasa kerana banyak laporan salah laku dan penyelewengan diterima pihaknya.

Menerusi undang-undang khas itu, katanya, isu penyelewengan dana masjid dan surau boleh diselesaikan kerana adanya peraturan serta pemantauan khusus oleh majlis agama negeri.

“Isu ini penting kerana masjid dan surau lambang Islam dan institusi ini perlu diperkasakan. Ada sesetengah rumah ibadat ini benar-benar menguruskan wang dengan betul.

“Keperluan mewujudkan peraturan khusus di bawah majlis agama negeri perlu ada untuk pemantauan dan tindakan sekiranya ada masjid atau ahli jawatankuasa melanggar tatakelola atau peraturan ditetapkan majlis agama masing-masing.

“Sejak kebelakangan ini, kami menerima banyak aduan dan maklumat serta rungutan berhubung isu ini kerana ada yang mempertikaikan pengurusan dan perolehan kewangan masjid dan surau,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Peluncuran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS) Selangor di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UIS, Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Azam mengakui ketika ini tidak ada peraturan jelas di bawah undang-undang tadbir negeri masing-masing dalam pengurusan dana kewangan rumah ibadat, menyebabkan tindakan lebih khusus tidak boleh diambil oleh SPRM.

Katanya, tindakan boleh diambil mengikut Akta SPRM namun peruntukan sedia ada lebih bersifat umum.

“Organisasi lain seperti koperasi mempunyai undang-undang spesifik dalam pengurusan kewangan dan ini perlu dilakukan masjid dan surau,” katanya sambil menambah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) boleh memulakan langkah penggubalan undang-undang berkenaan.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *