Home » Citra Yadim » RESOLUSI KONVENSYEN PERPADUAN NGO-NGO ISLAM 2023

RESOLUSI KONVENSYEN PERPADUAN NGO-NGO ISLAM 2023

Berdasarkan kepada kesedaran akan peri penting permuafakatan dan usaha bersepadu antara Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dengan pihak kerajaan dalam mendepani pelbagai isu berkaitan ekonomi, sosial, perpaduan, pendidikan serta isu melibatkan golongan anak muda, maka kami yang bersidang dalam Konvensyen Perpaduan NGONGO Islam pada hari ini, 21 Mac 2023 di Hotel Tenera, Bangi, Selangor dengan ini telah bersepakat dengan resolusi-resolusi berikut:

RESOLUSI PERTAMA

Mengakui bahawa Malaysia Madani merupakan satu gagasan yang membawa nilai khusus yang berupaya menyelesaikan permasalahan ummah, memenuhi keperluan semasa, menyentuh pencorakan masa hadapan dan memenuhi potensi rakyat serta negara.

RESOLUSI KEDUA

Suara dan hasrat khalayak NGO dan agensi kerajaan harus sinergi bagi memastikan usaha membangun negara Madani ini seiring dengan kegiatan dakwah agar mesej rahmah diterjemahkan kepada masyarakat dengan lebih strategik.

RESOLUSI KETIGA

Menggerakkan inisiatif berterusan dengan membangun satu pelan tindakan yang konstruktif untuk dilaksanakan oleh NGO Islam bersama-sama agensi kerajaan di seluruh negara dalam usaha menyampaikan mesej keharmonian dan kebajikan ke arah pembinaan sebuah negara yang mampan, makmur, progresif dan harmoni. Sudah tiba masanya, NGO-NGO Islam diberi pensijilan oleh kerajaan melalui YADIM sebagai perakuan integriti dalam aktiviti dan khidmat sosial yang mereka berikan kepada masyarakat.

RESOLUSI KEEMPAT

Memperkasa Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) YADIM secara proaktif sebagai platform untuk NGO Islam mengemukakan pandangan dan mendapat maklum balas langsung daripada agensi-agensi kerajaan terkait isu-isu yang menyentuh kepentingan ummah dan negara dengan menjadikan Konvensyen Perpaduan NGO Islam sebagai acara berkala.

RESOLUSI KELIMA

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai satu entiti yang dihormati dan berpengalaman perlu menjadi penyelaras bagi penyaluran dana daripada kerajaan kepada khalayak NGO di seluruh negara.

RESOLUSI KEENAM

Menangani masalah sosial negara melalui pendekatan ad-Din berasaskan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah mutawatir secara komprehensif dengan mengutamakan kebajikan dan memperkasakan NGO yang aktif dalam membantu kerajaan semasa dengan menjadi ejen kepada suara rakyat dalam menggerakkan agenda perpaduan.

RESOLUSI KETUJUH

Pendidikan dan institusi kekeluargaan yang mantap hendaklah menjadi at-Tamkin (asas pengukuhan) perpaduan dan bergerak secara proaktif serta responsif terhadap isu-isu pendidikan dan masalah sosial bagi memastikan generasi muda terdidik dengan akidah, syariah, akhlak Islamiah, adab, kepimpinan dan keutuhan jati diri dengan membina modul dan silibus yang berkesan.

RESOLUSI KELAPAN

Merakyatkan kemahiran, kepimpinan dan bakat anak muda secara inklusif menerusi program antara agensi kerajaan dan NGO Islam demi melahirkan anak-anak muda yang berdedikasi, berkaliber dan berketerampilan.

RESOLUSI KESEMBILAN

Merangka pelan tindakan strategik, tuntas dan efektif dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan agenda ekonomi bagi melahirkan generasi usahawan serta memperkasa institusi-institusi yang berperanan dalam memperjuang pembangunan ekonomi umat Islam.

RESOLUSI KESEPULUH

Membangunkan kompleks lengkap dengan fasiliti seperti pejabat, dewan seminar, dewan serbaguna dan bilik latihan; milik bersama gabungan NGO Islam dengan bantuan daripada dana kerajaan bagi membolehkan kerja-kerja khidmat sosial dan kesukarelawanan dapat dilaksanakan dengan lebih terancang, teratur, dan tersusun demi manfaat masyarakat.

Sekian. Bangi, 21 Mac 2023

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *