Home » Langit Terbuka » Majlis Raja-Raja perkenan laksana Dasar Pendidikan Tahfiz Negara

Majlis Raja-Raja perkenan laksana Dasar Pendidikan Tahfiz Negara

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (tiga, kiri) bergambar bersama wakil-wakil penerima bayaran imbuhan imam, guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan guru takmir negeri 2018 bernilai RM10.32 juta semasa Majlis Nadwah Murabbi Ummah Peringkat negeri di Dewan 2020. - UTUSAN

KANGAR 6 Mac – Kerajaan telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja untuk melaksanakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), yang merangkumi empat bentuk kurikulum bagi melahirkan graduan huffaz yang mempunyai keseimbangan ilmu agama dan akademik duniawi pada masa depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, di bawah kurikulum itu, golongan ini bukan sahaja nanti mampu menghafal al-Quran tetapi turut mempunyai kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), ilmu agama dan bidang profesional.

Beliau walau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh kerajaan memperoleh perkenan berhubung dasar tersebut.

Tambahnya, langkah itu diharap mampu mencapai sasaran melahirkan seramai 125,000 huffaz profesional di bawah Transformasi Negara 2050 (TN50) yang meliputi tiga bentuk aliran iaitu Persekutuan, negeri dan persendirian.

“Ini bermakna, negara akan mempunyai doktor, jurutera, akauntan, peguam, ahli ekonomi malah pentadbir kerajaan yang hafal al-Quran,” katanya ketika berucap pada Majlis Nadwah Murabbi Ummah Peringkat Negeri di Dewan 2020 di sini hari ini.

Berkenan berangkat ke majlis itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Khairi Hassan.

Sebelum ini, kerajaan masih menunggu perkenan daripada Majlis Raja-Raja untuk meluluskan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara bagi melaksanakannya sebagai garis panduan kepada pusat-pusat tahfiz termasuk milik persendirian di seluruh negara.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi memberitahu, kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memperuntukkan sebanyak RM10.3 kepada kerajaan negeri untuk membayar imbuhan bulanan imam, guru takmir dan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).

Katanya, melalui Bajet 2018, kerajaan juga telah meluluskan bayaran khas one-off sebanyak RM1,500 kepada imam, bilal, siak, guru KAFA dan guru takmir di seluruh negara sebagai menghargai sumbangan golongan itu. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *