Home » Langit Terbuka » Malaysia bakal jadi transit pelancong Muslim dari Asean

Malaysia bakal jadi transit pelancong Muslim dari Asean

Majlis menandatangai Memorandum Persefahaman antara YADIM dan EZ Kembara di INDAH, Semungkis

Hulu Langat: Malaysia bakal menjadi transit bagi pelancong Muslim dari China, Korea, Jepun dan negara Asean lain menerusi program Kembara Madani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebagai permulaan kumpulan pertama program itu akan disertai 80 pelancong yang akan menginap di Institut Latihan Dakwah (Indah) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), di sini, bermula Oktober ini.

Katanya, program itu dijangka akan membawa pulangan ekonomi kepada masyarakat setempat dan negara.

“Yadim bekerjasama dengan Ez Kembara dan Yayasan EZ Prihatin bagi mengadakan program penempatan untuk pelancong Muslim dari China, Korea dan Jepun yang akan menginap di Indah.

“Mereka akan mengatur pelbagai program termasuk memperkenalkan tempat islamik seperti masjid sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, muzium Islam dan lain-lain.

“Pendakwah Yadim juga akan mengendalikan kursus berkaitan untuk memperkasakan ilmu dan kefahaman Islam khususnya haji dan umrah.

“Kita jangkakan dengan program kerjasama ini akan lebih ramai pelancong Muslim dari luar akan datang ke Malaysia sekali gus menaikkan ekonomi dan pendapatan masyarakat sini dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Akademik Daie Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 2023 serta Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kompleks Baharu Indah, Yadim di Sungai Semungkis, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Zamri Zainal Abidin menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pengasas Yayasan EZ Prihatin, Ahmad Fadzlullah Hasanuddin serta Ketua Pegawai Operasi EZ Kembara, Ahmad Akmal Muhammad untuk menjayakan Kembara Madani.

Mengulas mengenai majlis pecah tanah pembinaan kompleks Indah, Mohd Na’im berkata, Indah akan diberi nafas baharu dengan anggaran kos bernilai RM14 juta.

“Ia akan menempatkan bangunan pentadbiran, surau, dewan latihan dan bilik penginapan serta boleh menampung kapasiti 200 orang pada satu-satu masa.

“Selain itu, sebahagian daripada kos ini turut digunakan bagi membina pencawang elektrik yang bukan hanya untuk manfaat penghuni Indah, malah penduduk setempat,” katanya.

Pada majlis sama, seramai 28 pelatih daie muda menerima watikah pelantikan bagi menjalani latihan di Indah selama empat bulan sehingga November ini.

Objektif program latihan Akademi Daie Muda Yadim ialah melahirkan pendakwah mengikut perkembangan semasa termasuk celik media sosial, kreatif dalam menyampaikan dakwah di lapangan serta sahsiah serta berakhlak mulia. – Harian Metro.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *