Home » Langit Terbuka » Malaysia kekal peneraju pasaran permodalan Islam

Malaysia kekal peneraju pasaran permodalan Islam

Timbalan Menteri Kewangan berkata, melalui pembinaan kekuatan dalam pasaran modal Islam serta keadaan persekitaran kewangan antarabangsa yang agak mencabar, Malaysia turut diiktiraf sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia. - Foto Triptaptoe.com

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam global dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.88 trilion sehingga pada hujung 2018, mewakili kira-kira 61 peratus daripada pasaran modal di Malaysia, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah

Melalui pembinaan kekuatannya dalam pasaran modal Islam serta keadaan persekitaran kewangan antarabangsa yang agak mencabar, Malaysia turut diiktiraf sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia, katanya lagi.

“Ini membolehkan interaksi yang lebih rapat dengan swasta bagi merapatkan jurang pembiayaan untuk memenuhi matlamat pembangunan lestari (SDG).

“Tahun lepas, sejumlah RM882.30 juta bon dan sukuk hijau telah diterbitkan melalui pasaran modal Malaysia bagi faedah-faedah alam sekitar,” katanya semasa berucap pada mesyuarat tahunan yang ke-44 Lembaga Gabenor-Gabenor Bank Pembangunan Islam (IDB) di Maghribi baru-baru ini.

Pada tahun lepas, Bank Negara Malaysia juga telah menerbitkan kertas strategi mengenai perantaraan berasaskan nilai, yang memperjelaskan strategi untuk mengukuhkan peranan dan impak bank-bank Islam terhadap kemapanan ekosistem kewangan.

“Kami berharap supaya pengalaman Malaysia akan menjadi perangsang kepada negara-negara anggota yang lain, dengan harapan supaya satu kerja sama sama boleh dibuat bagi mengubah dan membina ekonomi masing-masing,” katanya.

Bertemakan “Transformasi Dalam Dunia Yang Berubah : Jalan Ke Arah Matlamat Pembangunan Lestari” mesyuarat tersebut telah diadakan dari 3-6 April di Marrakech, Maghribi.

Sekarang ini, kumpulan IDB terdiri daripada 57 buah negara seperti Arab Saudi, Libya, Iran, Nigeria, Emiriyah Arab Bersatu, Qatar, Mesir, Kuwait, Pakistan, Indonesia, Malaysia, Brunei dan Kazakhstan.- Bernama.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *