Home » Langit Terbuka » Malaysia sumber inspirasi perkukuh agenda Islam peringkat antarabangsa – MWL

Malaysia sumber inspirasi perkukuh agenda Islam peringkat antarabangsa – MWL

GAMBAR: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL), Sheikh Dr Mohammad Al-Issa, memuji Malaysia sebagai negara yang menjadi sumber inspirasi dalam usaha memperkukuhkan agenda Islam pada peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam berkata, ia ditonjolkan melalui komitmen berterusan Malaysia dan rakyatnya dalam menyokong serta menjayakan pelbagai program keislaman bersama MWL.

Bercakap pada majlis penutup Pertandingan Iman dan Sains, Al-Issa berkata, program seperti itu yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), membuktikan usaha bersepadu dalam memperkukuhkan hubungan umat Islam dengan al-Quran melalui pembacaan, pemahaman dan penghayatan nilai-nilainya.

“Liga Dunia Islam sentiasa berusaha memperkukuhkan nilai al-Quran dalam kalangan generasi muda di seluruh dunia.

“Malaysia pula merupakan negara yang amat istimewa kerana masyarakatnya mempunyai jiwa keimanan dan kecintaan terhadap al-Quran,” katanya dalam ucaptama pada program itu, di sini, semalam.

Al-Issa turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan Kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memastikan kejayaan inisiatif itu yang disifat sebagai mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasakan nilai Islam pada peringkat global.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata program berteraskan al-Quran dan ilmu adalah platform penting dalam mengintegrasikan iman dan pengetahuan.

Beliau berkata, inisiatif sedemikian bukan saja memupuk nilai Islam dalam kalangan peserta, malah menghubungkan wahyu dengan perkembangan ilmu pengetahuan moden secara seimbang.

Katanya, Malaysia akan terus menyokong pelaksanaan program seumpama itu yang mengangkat nilai kesederhanaan dan keharmonian serta memperkukuhkan kefahaman Islam yang sebenar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MWL, terutama Al-Issa, atas usaha berterusan dalam memperkukuhkan agenda ilmu dan keimanan melalui platform antarabangsa.

Pertandingan itu yang dianjurkan melalui platform Facebook Iman & Sains Malaysia sepanjang Ramadan, adalah antara usaha MWL memperluaskan kerjasama dan persefahaman antara negara dalam memperkukuhkan nilai kemanusiaan dan menjadikan Islam sebagai sumber rahmat kepada seluruh dunia.  – BERNAMA

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/04/1535698/malaysia-sumber-inspirasi-perkukuh-agenda-islam-peringkat

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *