Home » Ensiklopedia » Masjid Kampung Laut

Masjid Kampung Laut

Masjid Kampung Laut dipercayai sebagai antara masjid tertua di Asia Tenggara. Tapak asal masjid ini terletak di Kampung Laut, Tumpat Kelantan sebelum dipindahkan ke lokasi sekarang di Pusat Pengajian Islam Nilam Puri.

Masjid ini dibina tanpa menggunakan sebarang paku pada sekitar kurun ke-18.

Ia mempunyai persamaan dengan Masjid Demak di Jawa, Masjid Kono di Champa, Masjid Nad Tanjung dan Masjid Wadi Hussein di Thailand. Aktiviti perdagangan zaman dahulu melalui penggunaan jalan laut menjadi penyebab utama tersebarnya agama Islam di tanah air kita.

Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri, Kelantan memaparkan secara terperinci rekaan senibina yang berasaskan daripada masyarakat Champa zaman dahulu. Diiktiraf sebagai masjid yang diperbuat daripada kayu paling tua di negara kita, hikayat orang ramai mengatakan Masjid Kampung Laut dibina oleh pendakwah Islam yang tiba ke sini dari sebuah kerajaan yang memerintah Jawa ketika itu, kerajaan Demak.

Dikatakan ianya sama generasi dengan ulama terkenal Wali Songo, kumpulan pendakwah Islam dari Jawa ini singgah di Kelantan semasa dalam perjalanan ke Champa. Pada waktu itu, wujudnya hubungan rapat di antara kerajaan Champa dengan kerajaan Demak dari segi ekonomi. Ini membuatkan pendakwah Islam yang singgah di bandar-bandar pelabuhan dapat menyebarkan Islam, sewaktu mereka singgah di pelabuhan.

Sehingga tahun 1966, masjid ini digunakan sebagai tempat beribadat yang utama oleh penduduk di sekitar Kampung Laut. Akan tetapi masjid ini rosak akibat banjir yang melanda Negeri Kelantan pada penghujung tahun 1966 dan awal tahun 1967. Kerajaan Negeri telah menutup masjid tersebut dan membina sebuah masjid yang baru di tempat yang lebih selamat.

Dalam pada itu, usaha untuk menyelamatkan warisan yang bernilai tinggi ini dilakukan oleh Persatuan Sejarah Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dengan cara memindahkannya ke Nilam Puri sehingga sekarang. Difahamkan, usaha membina semula masjid berkenaan mengikut reka bentuk asalnya dilakukan oleh sekumpulan tukang rumah Melayu diketuai oleh Husin Saleh dari Kampung Bunut Payong, Kota Bharu.

Pembinaan semula dijalankan pada November 1968 dan siap sepenuhnya pada November 1969. Ketinggian seni bina Masjid Kampung Laut ialah reka bentuk yang unik, tidak menggunakan sebarang paku tetapi menggunakan potongan kayu dan buluh sebagai pasak. Mereka memilih tidak menggunakan paku kerana pada zaman dahulu, paku bukan sesuatu yang mudah untuk diperoleh.

Menyedari keadaan ini satu jawatankuasa pengelola masjid telah dibentuk untuk membaik pulih, mengelola, menjaga dan memelihara masjid lama itu supaya reka bentuk dan binaan asalnya dapat dikekalkan.

Rujukan: https://www.utusan.com.my & https://www.arkib.gov.my

 

Nurul Ain Mohd Shukri ialah Pelajar Latihan Industri Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *