Home » Ensiklopedia » Masjid Melayu Lebuh Acheh, Pulau Pinang

Masjid Melayu Lebuh Acheh, Pulau Pinang

Masjid Melayu Lebuh Acheh terletak di Lebuh Acheh (Acheen Street) dibina pada 1808. Masjid Melayu Lebuh Acheh terletak dalam lingkungan Tapak Warisan Dunia bandaraya Geogetown. Terletak berdekatan Rumah Syed Al-Attas dan Tokong Khoo Kongsi, Masjid Kapitan Keling, Kuil India dan Tokong Cina. Warisan sejarah dan seni bina Islam di Pulau Pinang pada awal abad ke-19.

Masjid ini diasaskan oleh Tengku Syed Hussain Al-Aidid yang berasal dari Acheh, Sumatera, Indonesia. Tengku Syed Hussain merupakan Putera Acheh Sumatera datang ke George Town dengan rombongan Diraja, atas jemputan Kapten Francis Light, tidak lama selepas pendudukan British pada tahun 1786. Makam Tengku Syed Hussain terletak di bahagian belakang masjid. Nama jalannya sebelum ini dirujuk sebagai “Jalan Melayu’ atau ‘Lebuh Melayu’ oleh masyarakat tempatan. Kemudiannya dinamakan semula dengan nama ‘Acheen Street’ apabila orang Aceh menetap di sini.

Masyarakat Aceh telah berasimilasi dengan masyarakat Melayu dan bahasa Melayu telah dijadikan ‘lingua franca’ mereka. Walaubagaimanapun, nama Lebuh Melayu terus wujud di jalan keluar menuju ke jeti Melayu. Masjid tersebut terletak berhampiran ‘Bandar Melayu’ dalam peta Popham 1798. Di perkarangan masjid ini terdapat tiga bangunan warisan iaitu rumah Arab Peranakan, separuh batu dan separuh kayu, Sekolah Al-Mashoor di Air Itam yang sebelum ini terletak di Rumah No.67, manakala Rumah No.69 ialah rumah mubaligh dan imam, Sheikh Omar Basheer, yang telah menamatkan rusuhan di Pulau Pinang pada tahun 1867.

Dalam pada itu, Tengku Syed Hussain Al-Aidid membuka dan memajukan sebuah penempatan di Lebuh Acheh dengan mendirikan sebuah masjid, menara, rumah kediaman, deretan rumah kedai, Madrasah Al-Quran dan pusat pengajian, masjid ini menjadi sebuah pusat pengajian agama Islam terawal di Pulau Pinang.

Masjid ini suatu masa dahulu telahpun diberi jolokan “Jeddah Kedua”. Ratusan bakal haji Malaysia, Indonesia dan Thailand berkumpul sebelum berlepas ke tanah suci Mekah menaiki kapal laut yang telah disewakan dari syarikat swasta Inggeris, Mansfield & Co. Seterusnya, Masjid Melayu Lebuh Acheh dilengkapi menara bersegi lapan, kolah wuduk, tandas, perigi, anjung dan kawasan makam yang telahpun mencerminkan gabungan pengaruh seni bina Moorish (dari utara India), Cina dan klasikal.

Manakala, seni bina kebanyakan rumah kediaman di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh mencerminkan rumah kayu tradisional Melayu. Masjid ini sekarang ditadbir satu jawatankuasa yang telah dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa dan masjid ini telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada 17 Oktober 2018 oleh Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Rujukan: George Town World Heritage Incorporated (https://gtwhi.com.my/)

Oleh Nurul Ain Shukri,  pelajar latihan industri dari Universiti Malaya

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *