Home » Langit Terbuka » Masyarakat Madani mampu capai kemajuan tanpa perbezaan warna kulit, kaum – JAKIM

Masyarakat Madani mampu capai kemajuan tanpa perbezaan warna kulit, kaum – JAKIM

Foto fail rakyat Malaysia. – Bernama

KUALA LUMPUR: Masyarakat MADANI mampu mencapai kemajuan yang seimbang tanpa perlu membelakangkan mereka yang berlainan warna kulit, kaum, bahasa atau jantina, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

JAKIM berpandangan rakyat wajib saling mengenali ke arah memperkukuh masyarakat MADANI yang membangun daripada segi kecerdasan dan hati, sains, teknologi dan telekomunikasi.

Li ta’arafu (saling mengenali), bahawa kesemua suku kaum dan bangsa, individu lelaki dan wanita, semua ialah satu keluarga manusia yang mulia, yang perlu hormat menghormati dan saling melindungi satu sama lain.

“Kita harus menghargai perpaduan manusia yang hakiki yang lebih utama daripada perbezaan luaran. Perbezaan luaran hanyalah semacam label untuk memudahkan kita mengenal ciri dan sifat-sifatnya, bukan untuk melakukan kezaliman dan penindasan,” katanya.

JAKIM mengeluarkan ulasan itu sempena tema sambutan Maal Hijrah 1445H iaitu ‘Perpaduan Teras Malaysia MADANI’.

Maal Hijrah 1445H diraikan pada 19 Julai dengan majlis peringkat kebangsaan akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut JAKIM, nilai penting masyarakat seperti keamanan, kedamaian dan ketenteraman adalah antara anugerah tertinggi daripada Tuhan, dan Islam mewajibkan hubungan sesama manusia berdasarkan rasa belas ihsan, kemesraan dan setia kawan.

Ia seterusnya menggalakkan sifat berlapang dada, saling memaafkan kelemahan, bermurah hati, ramah tamah serta suka cita apabila orang lain meraih kejayaan dan kemakmuran.

“Allah melarang kita daripada menghina benda-benda sembahan penganut agama lain kerana akan menimbulkan kemarahan, dendam dan kedengkian hingga mereka membalas menghina Allah secara yang melampaui batas permusuhan dan dengan ketiadaan pengetahuan (al-An’am, 6: 108),” katanya.

Menurut JAKIM, sentimen mementingkan diri, semangat berpuak-puak dalam kezaliman, bermusuhan dan saling membenci tidak wajar digalakkan di bumi bertuah ini.

Katanya, aset negara yang paling mahal ialah warga Malaysia yang mengutamakan kerukunan, kedamaian dan kesepakatan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran untuk menongkah masa depan, selaras dengan tema Maal Hijrah tahun ini. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *