Home » Langit Terbuka » Mat motor ditahan diberi tazkirah, solat subuh berjemaah

Mat motor ditahan diberi tazkirah, solat subuh berjemaah

Ketua Polis Daerah Kemaman berkata, kesemua mereka dibawa ke IPD Kemaman untuk diambil keterangan sebelum diberi tazkirah dan dibawa menunaikan solat subuh berjemaah - Foto Utusan

KEMAMAN – Polis daerah ini terus memperhebatkan usaha memerangi kegiatan lumba haram dengan menahan 33 lagi penunggang motosikal dalam operasi khas motosikal Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Kilometer 119 Jalan Kuala Terengganu- Kuantan awal pagi ini.

Operasi enam jam berakhir pukul 5.50 pagi itu dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman diterajui ketuanya, Asisten Superintendan Zul Ilham Abd. Rahim sambil dibantu para pegawai dan 45 anggota termasuk Bahagian Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, kesemua mereka dibawa ke IPD Kemaman untuk diambil keterangan sebelum diberi tazkirah dan dibawa menunaikan solat subuh berjemaah selain membaca surah Yasin di Masjid Sultan Ahmad Shah di sini pagi tadi.

“Mereka yang ditahan termasuk kalangan pelajar dan pekerja swasta yang berusia lingkungan 16 hingga 33 tahun.

“Malah mereka sering menjadikan Khamis sebagai hari untuk berkumpul bersama rakan-rakan dan seterusnya melakukan aksi berbahaya di jalan raya sebelum berlumba,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, Ini merupakan operasi kali kedua dilakukan IPD Kemaman dan kali pertama pada 27Julai lalu dengan 79 mat rempit diberi tazkirah dan dibawa menunaikan solat Subuh berjemaah serta membaca Yasin di masjid sama.

Menurut Mohd. Said, antara kesalahan yang dilakukan ialah menunggang motosikal secara berbahaya, tidak mempunyai lesen memandu yang sah, cukai jalan yang tamat tempoh dan tiada cermin pandang belakang. – Utusan Malaysia

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *