Home » Langit Terbuka » MB nafi galak jual ayam tidak halal

MB nafi galak jual ayam tidak halal

Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, jawapan bertulisnya berkaitan isu halal dan kebersihan ayam segar di pasar raya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri telah diberi tafsiran tidak tepat oleh pihak media. - Foto Bernama

SEREMBAN  – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan beliau mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah menggalakkan penjualan ayam tidak halal di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, jawapan bertulisnya berkaitan isu halal dan kebersihan ayam segar di pasar raya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 24 April telah diberi tafsiran tidak tepat oleh pihak media.

Tambahnya, komen-komen warga maya kemudian menggambarkan beliau seperti menggalakkan penjualan ayam tidak halal.

“Ingin saya jelaskan bahawa dasar pensijilan halal bersifat terbuka dan sukarela, sekali gus pengusaha pasar raya bebas mendapatkan bekalan ayam mentah dari rumah sembelihan yang mempunyai sijil halal atau tidak.

“Ayam yang dalam pembungkusan boleh dikenalpasti status halal melalui logo halal yang tertera dan boleh disemak kesahihannya dalam direktori www.halal.gov.my.

“Bagi yang tiada, maka status halalnya adalah di luar pengetahuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat itu menjelaskan bahawa, jawapannya itu hanyalah berhubung dasar pensijilan halal dan kaedah penjualan ayam di pasar raya.

“Malah jawapan saya juga menasihatkan pengguna membeli ayam yang dibungkus oleh pembekal yang telah mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia,” katanya. – Utusan Malaysia

 

Artikel Berkaitan

YADIM Kedah dan Perlis: Ziarah Madani Mualaf

MENJELANG Syawal tidak lama lagi, adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memupuk semangat kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama Muslim termasuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *