Home » Citra Yadim » MDN perlu lebih proaktif martabat ummah

MDN perlu lebih proaktif martabat ummah

Majlis Dakwah Negara (MDN) digesa bertindak dan berperanan lebih aktif, selain segera bertindak menyelesaikan perpecahan dalam kalangan umat Islam sama ada dari segi akidah mahupun arus politik negara.

Institusi keagamaan itu juga diharap dapat mengumpul sebanyak mungkin persatuan dan agensi Islam yang berada di bawah kerajaan atau swasta bagi melaksanakan usaha menyatukan umat Islam di negara ini.

Malah MDN digesa untuk menarik lebih ramai tokoh masyarakat berwibawa untuk menggunakan kepakaran masing-masing menyelesaikan perbalahan yang berlaku, sekali gus membentuk sebuah komuniti Islam yang berjaya dan bersatu padu.

Kesemua gesaan itu merupakan sebahagian daripada tiga usul dan ketetapan dibentangkan semasa Perhimpunan Ilmuwan Kebangsaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Usul dan ketetapan yang dibentangkan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Datuk Zakaria Stapa itu juga telah mendapat sokongan penuh daripada perwakilan yang hadir dalam perhimpunan ilmuwan tersebut.

Selain itu, usul yang dibentangkan turut mahukan parti-parti politik umat Islam mengambil kira pandangan sebahagian masyarakat negara ini yang benci kepada perbalahan yang dilihat boleh merugikan umat Islam itu sendiri.

Ucapan menyokong kesemua usul dan ketetapan itu disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Noor Inayah Yaakub, seterusnya disokong penuh oleh peserta persidangan yang dibenarkan berucap selama lima minit. Seramai 23 peserta mengemukakan cadangan berhubung usul yang dibentangkan semasa majlis perhimpunan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi MDN, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid berkata, peranan golongan ilmuwan sangat luas, antaranya bertanggungjawab membawa sesebuah masyarakat Islam dan negara ke destinasi yang diredai Allah SWT.

Katanya, bukan sahaja menjadi ejen pembangunan negara dan ketamadunan Islam di negara ini, golongan ilmuwan juga ejen penggerak kepada masyarakat secara sepenuh masa, tidak seperti pegawai atau eksekutif yang sememangnya terikat dengan tugasan rasmi atau jadual padat di pejabat.

Selain itu, menurutnya, kekeliruan dan kecelaruan ummah yang seterusnya melibatkan perpecahan umat Islam akan menjadi lebih tenat sekiranya golongan ilmuwan gagal melaksanakan peranan serta tugas masing-masing.

“Para ilmuwan juga perlu proaktif dalam menghadapi dan mendepani perkembangan semasa umat Islam yang kadangkala menggugat dan meragut keimanan umat Islam.

“Oleh itu, ciri utama seorang ilmuwan Islam adalah mesti berani mempertahan yang hak, amar makruf dan nahi mungkar,” katanya.

Perhimpunan ilmuwan yang membincangkan isu ‘Peranan Ilmuwan Dalam Perpaduan Ummah dan Pembangunan Negara’ itu merupakan anjuran MDN-Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), selain mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan (Mapik) serta Kesatuan Wanita Teknologi UTM.

  • https://www.utusan.com.my/

Artikel Berkaitan

YADIM Kedah dan Perlis: Ziarah Madani Mualaf

MENJELANG Syawal tidak lama lagi, adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memupuk semangat kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama Muslim termasuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *