Home » Langit Terbuka » MED tumpu bangun sumber bahan utama halal

MED tumpu bangun sumber bahan utama halal

Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), mengambil inisiatif mempelbagaikan penghasilan produk halal terutamanya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana bumiputera, jelas Menterinya. – Foto Edisi Viral

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) kini menumpukan usaha membangunkan sumber bahan utama dalam penghasilan produk halal bagi merangsang perkembangan industri halal di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusuf berkata, inisiatif tersebut juga mampu mempelbagaikan penghasilan produk halal terutamanya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bumiputera.

“Antara inisiatif diusahakan kementerian ini adalah membabitkan industri pembuatan gelatin halal di Malaysia dengan penglibatan sektor swasta,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini (2 April).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berkenaan jumlah PKS yang telah dianugerahkan pensijilan halal menerusi peruntukan RM100 juta menerusi Belanjawan 2019 bagi merancakkan industri halal di negara ini.

Jelas Mohd Redzuan, peruntukan tersebut disediakan untuk Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pertanian dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyokong perkembangan industri halal dan pembangunan projek Hab Halal.

“MED tidak menerima peruntukan khas di bawah Belanjawan 2019 berhubung pembangunan industri halal. Namun, MED telah melaksanakan beberapa program bagi membantu perkembangan industri halal di negara ini,” katanya.

Beliau turut memetik maklumat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai sejumlah 1,624 syarikat menerima pengesahan Pensijilan Halal Malaysia daripada 3,268 syarikat yang memohon bagi tempoh 1 Nov, 2018-28 Feb, 2019.

Selain itu, MED turut melaksanakan pelbagai usaha termasuk Program Peningkatan Enterpris Bumiputera, Business Accelerator Program (Program Pemacu Perniagaan), Program Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Ekspo Halal Malaysia 2019.

SDSI misalnya akan diteruskan ke negeri-negeri lain bagi membantu PKS mempromosikan produk mereka dan dua siri SDSI setakat ini telah disertai seramai 52 usahawan di Perak dan 96 lain di Terengganu.

Menjawab soalan tambahan Noraini membabitkan penyelarasan kementerian-kementerian yang menerima peruntukan Belanjawan 2019 bagi pembangunan PKS industri halal, Mohd Redzuan berkata usaha itu sedang diperhalusi di bawah Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF).

“Antara kerangka keusahawanan nasional, perkara nombor satu yang telah dipersetujui Kabinet adalah semua bentuk PKS akan diletakkan di bawah MED.

“Salah satu usaha kita adalah menyelaraskan segala bentuk keusahawanan melibatkan PKS di kementerian lain…kita tidak mahu kementerian yang ada aktiviti keusahawanan bekerja dalam silo (bekerja secara sendirian atau dalam komuniti sendiri,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *