Home » Langit Terbuka » Media asing cetus imej negatif

Media asing cetus imej negatif

IPOH 18 Okt. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, media antarabangsa mencetuskan imej negatif dalam laporan mereka setiap hari terhadap remaja Islam sebagai pelaku kega­nasan, kerana jihad dan pengganas sehingga meningkatkan lagi Islamofobia di seluruh dunia.

Titah baginda, malah imej-imej orang Islam yang menjadi mang­sa dengan melarikan diri apabila kedia­man mereka dibom dan kehilangan orang yang disayangi tetap digambarkan sebagai negatif.

Baginda bertitah, Arab Spring turut dikaitkan dengan keganasan oleh belia Islam yang bertempur dengan pasukan keselamatan ketika tunjuk perasaan di Yemen, Libya dan Syria.

“Penduduk Islam yang tinggal di negara Barat sama ada sebagai pelarian atau sebagai warga negara turut digambarkan dengan imej negatif sebagai penganggur, terpinggir dan mudah terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan ISIS.

“Imej buruk yang dibentuk oleh media antarabangsa ini me­nge­kalkan persepsi negatif terhadap belia Islam. Menyemai per­sepsi buruk terhadap golo­ngan belia Islam adalah agenda sesetengah ahli politik di Barat.

“Kempen Brexit di United King­dom umpamanya berjaya men­capai matlamat menunjukkan­ be­tapa berkesannya pende­katan dimainkan oleh go­longan media antarabangsa ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ke­tika merasmikan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Du­nia (WCIT) 2016 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Naib Canselor USAS, Prof. Tan Sri Dr. Nordin Kardi.

Sultan Nazrin bertitah, Islamofobia adalah satu kebimbangan yang terpaksa dihadapi oleh belia Islam yang membesar di Barat apabila masyarakat bukan Islam semakin menunjukkan permusuhan mereka secara terbuka.

Titah baginda, Islamofobia merupakan cabaran serius kepada generasi muda Islam terutama di negara yang penduduk Islam­nya adalah minoriti dan di negara-negara yang sedang bergolak di Asia Barat.

Baginda bertitah, trend keganasan ini menyekat pembangunan belia Islam di seluruh dunia.

“Sedangkan terdapat banyak negara Islam yang mencapai kemajuan. Ini dibuktikan melalui perangkaan bahawa satu perempat daripada negara yang diklasifikasikan mempunyai pembangunan manusia yang tinggi adalah yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Kemajuan dialami negara-negara ini jauh lebih baik berban­ding apa yang dikecapi oleh ibu bapa mereka.

“Kehidupan belia Islam di negara-negara yang penduduk Islamnya adalah minoriti di Barat turut menikmati kemajuan yang lebih tinggi,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, satu lagi cabaran terhadap golongan belia Islam ialah peluang pekerjaan yang semakin mengecil.

Titah baginda, ini memberikan risiko terhadap berlakunya pengangguran di peringkat global sehingga menyumbang kepada pergolakan politik serta aliran migrasi terutama golongan muda.

Baginda bertitah, pengangguran yang tinggi dikenal pasti sebagai punca bangkitnya golongan belia sehingga tercetusnya Arab Spring.

Titah Sultan Nazrin, dalam usaha untuk seiring dengan pertumbuhan penduduk yang diun­jurkan di Asia Barat iaitu dianggarkan 80 juta orang dalam 15 tahun lagi, pekerjaan baharu perlu diwujudkan.- https://www.utusan.com.my/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *