Home » Langit Terbuka » Perubatan moden berasaskan tamadun Islam

Perubatan moden berasaskan tamadun Islam

KUALA LUMPUR 21 Februari : Umat Islam di negara ini perlu mengubah persepsi dan mentaliti supaya yakin perubatan moden adalah berasas daripada tamadun Islam, bukannya Barat semata-mata.

Ia berikutan beberapa isu dikaitkan dengan agama kebelakangan ini, seperti laporan tindakan segelintir pihak dipercayai kumpulan anti vaksin mempengaruhi orang ramai supaya menolak usaha pencegahan penyakit atas pelbagai alasan termasuk diharamkan.

Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh, berkata mengikut sejarah, asas perubatan moden yang diamalkan ketika ini adalah daripada tamadun Islam seperti Uthmaniyah, Abbasiyah dan Andalusia sebelum berkembang di Barat.

Beliau berkata, orang ramai tidak sepatutnya mencurigai perubatan moden yang ditawarkan bagi merawat pelbagai penyakit dengan mengaitkan soal halal dan haram.

“Seperti kes vaksin baru-baru ini, ramai masyarakat terutama luar bandar mempunyai persepsi negatif terhadap suntikan vaksin sehingga sanggup memilih untuk derita dengan pelbagai penyakit.

“Mereka lebih mempercayai perubatan alternatif, sedangkan vaksin yang disediakan kerajaan sudah wujud sejak ratusan tahun. “Tokoh perubatan terkenal, Ibnu Sina sendiri mencipta kaedah kuarantin sebelum diikuti negara Eropah, termasuk penemuan penyebaran penyakit melalui air dan udara,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Penjagaan Kesihatan Yang Mampan dan Isu Etika’ di Persidangan Antarabangsa anjuran IKIM di sini, hari ini.

Shaikh Mohd Saifuddeen berkata, ketika ini IKIM sudah menjadi ‘orang tengah’ dalam memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai soal agama dalam kaedah perubatan di negara ini.

Katanya, doktor atau pakar bersama agamawan perlu bekerjasama menjelaskan lagi kepada masyarakat mengenai kaedah yang digunakan dalam perubatan supaya tidak menimbulkan keraguan.

“Masyarakat lebih percaya penjelasan daripada agamawan yang dilihat ada lebih kredibiliti dalam isu agama dan perubatan berbanding doktor,” katanya.

“Jawatankuasa khas membabitkan agamawan dan doktor untuk selesaikan isu perubatan boleh difikirkan dalam usaha mengembalikan keyakinan umat Islam terhadap perubatan moden, walaupun agak sukar direalisasikan,” katanya.

– https://www.menara.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *