Home » Langit Terbuka » Menentang ICERD cerminan ketakutan lama orang Melayu, kata Dr M

Menentang ICERD cerminan ketakutan lama orang Melayu, kata Dr M

Tun Dr Mahathir berkata, orang Melayu menuntut keistimewaan sebagai balasan memberikan keistimewaan kepada masyarakat Cina dan India - Foto Wanista.com

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak terkejut melihat bantahan keras kumpulan-kumpulan Melayu terhadap cadangan Putrajaya mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD).

Beliau berkata kebimbangan sekitar keistimewaan Bumiputera, perkara utama dalam penentangan terhadap perjanjian sejagat itu, cerminan sentimen orang Melayu di awal-awal kemerdekaan Malaysia daripada British.

“Ketika itu saya sudah pun aktif dalam politik. Saya tahu sentimen pada masa itu,” kata perdana menteri kepada FMT dalam satu temubual eksklusif di pejabatnya.

Beliau berkata orang Melayu menuntut keistimewaan sebagai balasan memberikan keistimewaan kepada masyarakat Cina dan India.

Kalau tiada peruntukan seperti itu, orang Melayu malah mungkin tidak akan bersetuju dengan kemerdekaan. Mereka mahu kemerdekaan bersama syarat itu. Di satu pihak lain, British kata kalau kamu mahu kemerdekaan, kamu mesti terima orang Cina dan orang India sebagai warganegara. Jadi orang Melayu terima, dan lain-lain terima keistimewaan untuk orang Melayu.”

Dr Mahathir berkata pertukaran itu sengaja dibuat untuk kekal dengan memasukkannya ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Persekutuan tidak boleh dipinda kecuali ada majoriti 2/3. Kita tahu mustahil dapat majoriti 2/3 tanpa sokongan orang Melayu,” katanya.

Minggu lalu, selepas beberapa minggu berdebat mengenai ICERD, satu perjanjian antarabangsa oleh PBB yang menetapkan pemeterai mesti menghapuskan semua undang-undang diskriminasi, pejabat Dr Mahathir mengumumkan kerajaan tidak akan mengesahkan perjanjian itu.

Perjanjian itu antara lain mahu pemeterai memastikan layanan sama kepada semua kaum.

Pengkritik berkata mengesahkan ICERD akan melemahkan kedudukan khas orang Melayu, termasuk peruntukan yang membenarkan kuota di institusi awam, seperti yang dinyatakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memberi amaran ICERD bermakna dasar tindakan afirmatif untuk membantu masyarakat Bumiputera akan dihentikan.

Seruan mengesahkan ICERD itu dicadangkan oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan, tidak lama selepas Dr Mahathir berikar akan mengesahkan semua instrumen teras PBB berkenaan perlindungan hak asasi manusia dalam ucapan kepada Himpunan Agung PBB pada September.

Diingatkan tentang perkara itu, Dr Mahathir tidak bersetuju dia berputar balik apabila mengumumkan penolakan ICERD, mengatakan dia masih ingat dengan jelas ucapan itu.

“Semasa saya berucap di PBB, saya ingat saya kata kita akan sahkan semua perjanjian PBB. Tetapi saya katakan kita negara berbilang kaum dan agama. Kita akan ada masalah dengan hal itu.

“Jadi sekarang masalah yang kita ramalkan sudah berlaku, dan kita perlu beri reaksi,” katanya. – FreeMalaysiaToday

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *