Home » Resensi » Menghayati perjuangan ulama Alam Melayu

Menghayati perjuangan ulama Alam Melayu

Judul Buku: Tokoh-Tokoh Agama & Kemerdekaan di Alam Melayu
Penulis : Tajuddin Saman & Abd. Manaf Ahmad
Penerbit : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
Tahun : 2016 ( Cetakan ketiga)
No ISBN : 983-9878-62-X
Pengulas : Shaharom TM Sulaiman

Alam Melayu merupakan bumi yang subur menerima perkembangan dakwah Islamiah sejak kedatangan Islam pada awal abad ke-12 masihi. Dalam sejarahnyga juga telah menyaksikan terdirinya kerajaan Islam pertama iaitu Kesultanan Perlak dan Pasai yang banyak dimainkan oleh para pedagang Arab dan Parsi yang sekali gus ulama atau tokoh agama. Peranan ulama bukan saja untuk mengembangkan dakwah tetapi turut serta berperanan dihadapan menentang kolonialisme dan penggerak kepada perjuangan kemerdekaan. Ini dibuktikan oleh Sheikh Abu Bakar Al-Baqir, Haji Agus Salium, Kiyai Haji Ahmad Dahlan. Sumbangan besar para ulama di alam Melayu sangat besar dan usaha pendokumentasi perjalanan tribulasi perjuangan wajar dilakukan sebagai suatu rakaman sejarah untuk generasi mendatang. Dan, inilah yang dilakukan oleh YADIM melalui buku yang berada di tangan pembaca ini.

Buku ini melakarkan biografi 28 orang ulama dari alam Melayu yang merangkumi Malaysia, Indonesia dan Thailand yang sangat tersohor pada awal abad dan pertengahan abad ke-20. Tokoh-tokoh ulama yang ditampilkan dalam buku ini amat menarik. Mereka bukan saja agamawan semata-mata tetapi adalah sosok multi-dimensi. Ada di kalangan mereka adalah sasterawan, budayawan sekali gus politikus seperti Hamka, Haji Agus. Salim. Mereka juga peramal hal-hal mendatang termasuk penentu tarikh kemerdekaan seperti Sheikh Abdulah Fahim. Mereka juga ahli falak dan pemikir yang hebat seperti Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki. Mereka juga sasterawan yang menulis roman percintaan klasik dan reformis pembaharuan pemikiran Islam seperti Syed Sheikh Al-Hadi melalui karyanya Hikayat Faridah Hanum, Hikayat Taman Cinta Berahi.

Mereka juga menghasilkan novel cinta yang penuh kontroversi menentang perbezaan darjat dan adat oleh Hamka melalui novelnya seperti Merantau Ke Deli, Tenggelamnya Kapal De Vandervicjk,dan Di bawah Lindungan Kaabah. Tidak kurang juga garapan karya-karya menimbulkan kontroversi ketika masyarakat belum begitu terbuka terhadap persoalan-persoalan hak-hak wanitadan pengaruh pemikiran moden. Namun itulah kehebatan mereka yang mempunyai pandangan yang jauh dan tahap keintelektualan yang teruji. Ada juga di kalangan mereka yang mahir menukilkan puisi-puisi sufi seperti Tok Kenali. Ada di kalangan mereka pengasas dan pemimpin gerakan dakwah Islam Indonesia terbesar iaitu Kiyai Ahmad Dahlan yang memimpin gerakan Muhammaddiyah. Begitu juga dengan Haji Agus Salim yang memimpin Sarikat Islam iaitu parti politik Islam pertama di Indonesia.

Hampir semua tokoh ulama ini sebagai satu sarana berdakwah terlibat dalam mewujudkan institusi pendidikan seperti pondok dan pesantren sebagai usaha melahirkan generasi Muslim yang muttaqin yang kemudiannya mengembangkan dakwah Islamiah. Dengan kata lain, tokoh-tokoh yang ditampilkan dalam buku ini adalah yang sifatnya multi-dimensi yang menyerlah dalam pelbagai bidang, tidak hanya tertumpu dalam bidang agama. Dan sewajarnya perjuangan, pengorbanan, dan sumbangan mereka di pelajari, dihayati bahkan diamalkan sebagai suatu warisan yang amat berharga. Inilah mesej pokok yang ingin disampaikan oleh buku ini.

Tentu sekali dengan adanya penerbitan buku ini, masyarakat dapat mengenali lebih dekat tokoh-tokoh ulama Nusantara Melayu ini serta dapat mengenang kembali jasa-jasa mereka. Dari Malaysia, terdapat 22 tokoh ulama, antaranya; Haji Ahmad Fuad Hassan, Tok Selehor, Haji Abd. Rahman Merbok, Sheikh Muhammad Arshad Al-Banjari dan lain-lainnya. Dari Indonesia pula, terdapat lima tokoh iaitu, Haka (ayah kepada Hamka), Sheikh Nuruddin Ar-Raniry, Haji Agus Salim dan lain-lain. Manakala satu tokoh dari Thailand (Patani) iaitu Haji Sulong Al-Fatani. Buku ini yang telah masuk cetakan ketiga ini wajar dimiliki sebagai suatu komitmen kita dalam suatu usaha untuk membentuk peribadi umat yang kompeten dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan yang sedang dan bakal kita lalui.- MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *