Home » Citra Yadim » Menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran

Menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran

JOHOR BAHRU – Sebagai usaha menyemarakkan rasa kecintaan umat Islam khususnya generasi muda terhadap al-Quran, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Selatan telah mengadakan program Majlis Khatam, Tadarus dan Khatam al-Quran pada Ramadan baru-baru ini.

Pengarah YADIM Zon Selatan, Muhammad Ammar Abdullah berkata, sememangnya YADIM meletakkan sasaran untuk menarik penyertaan daripada golongan muda dalam program ini bagi menimbulkan rasa minat terhadap al-Quran sekaligus memantapkan jati diri seorang Muslim.

“Budaya membaca al-Quran serta memahami isi kandungannya perlu disuburkan di dalam masyarakat kita, dan ia seharusnya dimulakan di peringkat generasi muda lagi.

“Sebagai badan dakwah, YADIM amat bimbang dengan pengaruh-pengaruh luar terhadap anak-anak muda Muslim dan salah satu cara membendungnya adalah dengan menyemai rasa kecintaan terhadap al-Quran,’’ jelasnya.

Beliau berkata, al-Quran adalah satu-satunya perkara dalam Rukun Iman yang dapat dilihat, berbanding rukun-rukun lain yang semuanya adalah ghaib.

Menurutnya, al-Quran juga kitab terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan lengkap untuk menjadi segala sumber rujukan.

“Generasi muda juga harus disedarkan bahawa sebagai seorang Muslim mereka bertanggunjawab mendukung al-Quran dan tidak sesekali boleh menjauhinya,’’ katanya.

Menurutnya, program berkenaan telah diadakan di Masjid Tun Hussien Onn Johor Bahru dan merupakan program  kerjasama YADIM bersama Ahli Sunnah Research Group, Pertubuhan Sahabat Al Quran dan Masjid.

“Majlis ini disertai lebih 100 orang peserta yang rata-ratanya adalah golongan muda. YADIM tidak pernah jemu untuk menjalankan segala bentuk dakwah demi memartabatkan Islam”.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *