Kementerian itu dalam satu kenyataan turut menafikan mengeluarkan kenyataan menghalang agensi pelancongan bebas atau syarikat pelancongan swasta daripada menawarkan dan mengendali pakej-pakej umrah.

“Tuduhan yang dilemparkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini langsung tidak berasas dan MOF tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan hal ini,” katanya di sini hari ini.

Pada 4 Februari lalu, laman portal Malaysia Today menerbitkan artikel bertajuk ‘Guan Eng Akan Bunuh Perniagaan Melayu’ yang mendakwa Guan Eng menerusi kementeriannya telah mengeluarkan arahan agar umat Islam di Malaysia yang hendak menunaikan ibadah umrah hanya boleh melalui Tabung Haji.

Artikel itu turut dipaparkan di laman Facebook Raja Petra Kamarudin pada tarikh sama.

Menurut artikel tersebut, tujuan arahan palsu itu adalah untuk memastikan Tabung Haji memonopoli perkhidmatan pengurusan dan perjalanan umrah sekali gus menghilangkan peluang untuk agensi pelancongan swasta atau bebas milik Bumiputera untuk bersaing di pasaran.

Kementerian Kewangan berkata, laporan berita palsu sedemikian disebarkan semata-mata untuk membangkitkan kemarahan orang ramai dan menghasut kebencian terhadap Menteri Kewangan bukan Islam kerana kononnya melakukan campur tangan dalam hal ehwal urusan Islam.

Menurutnya, untuk itu, MOF telah membuat laporan polis untuk melaporkan penyebaran maklumat palsu dan akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ingin ditegaskan sekali lagi di sini bahawa tidak sekali-kali pernah Menteri Kewangan mahupun MOF mengeluarkan arahan seperti yang dinyatakan di dalam artikel Malaysia Today itu.

“Tuduhan-tuduhan palsu ini berniat jahat dan merupakan fitnah serta pembohongan,” katanya. – Kosmo