Home » Persuasif » Mohon keampunan dengan istighfar & taubat

Mohon keampunan dengan istighfar & taubat

Bertitik tolak daripada strategi iblis dalam usahanya mengusir Adam dan Hawa a.s. dari syurga sehingga menyebabkan kedua-duanya lalai dan leka dengan pesanan Allah SWT. Mereka berdua telah melakukan kesilapan dengan memakan buah dari pokok yang dilarang oleh Allah SWT itu, pada sangkaan mereka berdua pokok yang dilarang oleh Allah SWT itu adalah pokok yang akan mengekalkan mereka berdua di dalam syurga.

 

Apabila kedua-duanya menyedari bahawa mereka sebenarnya telah melakukan satu kesilapan
dan kesalahan, dan mula merasai bahawa mereka telah ditipu oleh iblis sehingga menyebabkan terbuka aurat mereka berdua, lalu Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhan mereka berdua menyeru Adam dan Hawa; “Bukankah aku telah melarang kamu berdua dari (mendekati) pokok itu? Dan aku telah katakan kepadamu berdua bahawa sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua (dan janganlah kamu berdua dikeluarkan olehnya dari syurga ini).” (al-A’raf: 22)

Dengan sebab perbuatan Adam a.s. dan Hawa yang telah melanggar larangan Allah SWT, mereka telah diberi hukuman oleh Allah SWT dengan dikeluarkan kedua-duanya dari syurga. Lalu Allah SWT mengarahkan menerusi firman-Nya yang bermaksud; “Turunlah kamu semuanya dengan keadaan sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi dan juga diberi kesenangan hingga ke satu ketika (iaitu mati)”. Allah berfirman lagi; “Di bumi itu kamu hidup dan di situlah juga kamu mati dan darinya pula kamu akan dibangkitkan semua pada hari kiamat.” (Surah Al A’raf 25)

Demikianlah arahan Allah SWT kepada kedua-duanya, dimana kedua-duanya amat menyesal sambil bertanya kepada Allah; “Wahai Tuhanku! Apakah kamu nampak sekiranya aku bertaubat dan aku beristighfar?” Allah menjawab; “Jika begitu aku akan bawa masuk semula ke dalam syurga.” Lalu kedua-duanya bertaubat dengan lafaz:

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا
وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ ٢٣

Maksudnya: Adam dan Hawa kedua-duanya bertaubat dengan katanya; “Wahai tuhan! Kami telah menzalimi diri kami sendiri dan kalau engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami nescaya jadilah kami dari orang-orang yang rugi.” (al-A’raf: 31)

Itulah lafaz taubat orang-orang bersalah yang menzalimi diri sendiri terutama melalui makan minum yang haram dan itulah caranya yang telah dilakukan oleh Adam dan Hawa yang menjadi contoh
teladan bagi ahli syurga.

Antara kandungan dari lafaz tersebut:
1. Mengakui kesalahan yang telah dilakukan.
2. Menyesal dengan kesalahan itu.
3. Meninggal dan membuang segala kesalahan itu serta meletakkan kesalahan itu ke atas diri sendiri sambil menyatakan bahawa dia telah menzalimi dirinya sendiri.
4. Segera bertaubat dari kesalahan itu.
5. Tidak berputus asa untuk beristighfar dan mengharapkan rahmat Allah.

Iblis diusir keluar dari syurga kerana takabbur dan derhaka kepada perintah Allah supaya sujud kepada Adam AS. Adam dan Hawa pula, kedua-duanya dikeluarkan dari syurga kerana tertipu oleh bisikan was-was iblis laknatullah. Setelah diusir dari syurga Iblis masih berterusan dengan sikap angkuh dan sombong serta berterusan menderhakai Allah SWT sehingga hari kiamat. Disebabkan sifat sombong, angkuh dan hasad dengki tersebut, iblis dan syaitan akan mendiami neraka untuk selama-lamanya.
Sedangkan Adam AS dan Hawa, mereka berdua bertaubat kepada Allah SWT lalu mereka berdua dikembalikan semula ke syurga bersama anak cucu mereka yang mengikut jalan Allah SWT.

Cara untuk kembali semula ke jalan yang lurus ialah dengan bertaubat dan sentiasa berdoa kepada
Allah SWT. Kesalahan dan dosa yang diiringi oleh istighfar dan taubat adalah sama seperti kesalahan Adam dan Hawa yang diterima taubatnya oleh Allah SWT, manakala kesalahan dan dosa yang tidak diiringi dengan istighfar dan taubat akan membentuk kekotoran jiwa dan bertambah keras jiwa disebabkan kedegilan dan kesombongan. Demikianlah keadaan kesalahan dan dosa iblis laknatullah yang enggan kembali kepada Allah untuk bertaubat.

Sumber: Buku Hakikat Al-Syaitan Al-Rajim Tipu Dayanya Dan Cara Memusuhinya Menurut Ajaran Allah Dan Rasul SAW. Oleh: Prof. Madya Dr. Ismail Lutfi

Artikel Berkaitan

Pertandingan TikTok Dakwah Challenge YADIM 2025

PERTANDINGAN TIKTOK DAKWAH CHALLENGE YADIM bersempena Program Dakwah Negara 2025! Tema: “Membangun Adab, Membina Negara” Khusus untuk belia berusia 13-30 tahun Cipta

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *