Home » Langit Terbuka » Mualaf Cina hayati keindahan solat

Mualaf Cina hayati keindahan solat

Persatuan Cina Muslim He-Ping gigih membantu komuniti mualaf sekitar Cheras, Selangor untuk mendalami agama Islam dan mendirikan solat. - foto KOSMO

SEPERTI kelaziman, pada malam Rabu itu, kira-kira 20 orang mualaf termasuk kanak-kanak memenuhi Balai raya Taman Sri Indah, Cheras, Balakong, Selangor untuk mempelajari kitab suci al-Quran dan solat secara berjemaah.

Ia merupakan inisiatif murni yang dijalankan sebuah badan bukan kerajaan di peringkat komuniti iaitu Persatuan Cina Muslim He-Ping bagi membantu mualaf Cina sekitar Cheras mendalami agama Islam.

Apabila azan Isyak berkumandang mereka berhenti dan mengambil tempat untuk mendirikan solat secara berjemaah.

Kelihatan begitu tenang riak wajah mereka menunaikan satu per satu rukun solat yang diimamkan oleh salah seorang pemuda Cina Muslim berumur 20-an.

Walaupun agak pelat mengalunkan bacaan al-Quran namun ia cukup lancar dan sayu sehingga menyentuh jiwa mereka yang mendengarnya.

Solat mengingatkan kita mengenai peristiwa Israk dan Mikraj apabila Allah menfardhukan solat kepada seluruh umat Islam.

Ia merupakan rukun Islam kedua yang diwajibkan ke atas orang Islam sebanyak lima kali sehari semalam termasuk kepada mereka yang baru menganut agama Islam.

Kesabaran

“Indahnya solat apabila Allah tidak sesekali menghakimi dirinya yang penuh dengan dosa sebaliknya sentiasa memberikan jalan setiap kali berdepan masalah dan menjadikannya lebih sabar.

“Kita boleh mengadu apa sahaja kepada-Nya dan ia berbeza jika kita mengadu kepada manusia, mereka akan menghakimi dan menghukum tanpa usul periksa. Itulah keindahan solat yang tidak akan pernah dirasai oleh penganut agama lain,” kata Siti Fatimah, 33, yang memeluk Islam dua tahun lalu ketika berkongsi mengenai keindahan solat kepada Kosmo! baru-baru ini.

Penuntut Doktor Falsafah Fakulti Sains di Universiti Putra Malaysia itu memberitahu, dia tidak akan sesekali melupakan kenangan ketika pertama kali mahu menunaikan solat.

Ketika itu, dia terlalu sukar untuk melafazkan surah al-Fatihah seolah-olah seperti seorang kanak-kanak tadika yang bertatih membaca.

Namun, seorang rakannya membantu memperbetulkan bacaan al-Fatihahnya beberapa kali sehinggalah dia membaca dengan lancar.

Pada mulanya, dia hanya mampu mengikuti gerak geri rakannya ketika menunaikan solat tanpa memahami maksudnya.

Lama-kelamaan, dia mampu menghafal satu persatu lafaz dalam solat menerusi bacaan buku Asas Praktikal Solat Untuk Perempuan.

Bahkan wanita Cina itu turut menghafal surah-surah pendek dalam al-Quran seperti surah Al-Fiil, Quraish, Al-Kauthar, Al-Kafirun, An-Nasr, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas.

“Bagi mendapatkan lebih pemahaman mengenai agama Islam, saya menghadiri kelas pengajian Islam yang dianjurkan Persatuan Cina Muslim He-Ping.

“Guru di kelas pengajian Islam tersebut memberi kefahaman terlebih dahulu mengenai rukun-rukun dalam solat sebelum diajar secara praktikal dan setiap kesalahannya diperbetulkan,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Bagi Siti Fatimah, solat membantu menguatkan diri untuk terus mentaati Allah walaupun keluarga menentang hasratnya untuk memeluk Islam.

Anak kelahiran Cheras, Selangor itu berkata, dia masih tinggal dengan keluarganya dalam usaha untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang anak kepada ibu bapa.

“Sehingga kini, saya masih tinggal dengan ibu bapa kerana mereka masih ahli keluarga walaupun berbeza agama.

“Saya juga tidak melupakan tanggungjawab kepada Pencipta dan menunaikan solat setiap kali masuk waktunya tanpa disedari keluarga,” katanya.

Sementara itu, seorang pemuda kacukan Cina, Nicky Shazman Mohd., 17, mengakui solat merupakan waktu terbaik untuknya menghadap Maha Pencipta dan mengadu setiap masalah yang dihadapi.

“Siapa yang tidak pernah ditimpa masalah dalam hidup? Apabila berdepan dengan masalah, saya akan segera mendapatkan kekuatan.

“Bagaimana? Ya, dengan mengadu kepada Allah yang memberi masalah itu! Dia pasti akan mendengar dan memberi jalan penyelesaiannya. Saat itu hati saya berasa amat tenang,” katanya.

Kelas agama

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Long berkenaan memberitahu, dia adalah antara ahli awal yang menyertai kelas pengajian Islam anjuran Persatuan Cina Muslim He-Ping sejak Disember 2015.

Cerita anak bongsu daripada empat adik-beradik itu, pelbagai ilmu agama diperoleh melalui kelas tersebut termasuklah ilmu solat yang sering menjadi permasalahan kepada mereka yang baru memeluk Islam.

Baginya, perkongsian mengenai rukun-rukun solat amat penting bagi memastikan solat yang didirikan adalah sah.

Bagi Pengerusi Persatuan Cina Muslim He-Ping, Nor Alina Ong, persatuan berkenaan berusaha sedaya upaya untuk membantu semua mualaf menyesuaikan diri dengan agama Islam menerusi penganjuran kelas-kelas pengajian agama.

Persatuan yang telah ditubuhkan sejak Disember 2015 kini mempunyai kira-kira 125 orang ahli Cina Muslim dari sekitar Mahkota Cheras, Sungai Long, Seri Kembangan dan Taman Impian Ihsan.

“Saya bertemu dengan ramai komuniti mualaf dan rata-rata mereka bergelut untuk menyesuaikan diri dengan agama Islam. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menjalankan kelas pengajian agama secara percuma,” katanya.

Cerita Nor Alina, mereka yang mengikuti kelasnya akan diajar membaca al-Quran dan perkongsian ilmu berkenaan tanggungjawab sebagai seorang Muslim terutamanya solat.

Kem solat

Malah, Nor Alina berkata, pelbagai program seperti Kem Solat Mualaf turut dianjurkan dengan menjemput penceramah undangan bagi memantapkan lagi pengetahuan komuniti mualaf tersebut.

“Kem Solat Mualaf ini dianjurkan sekali setiap tahun dan amat memberi manfaat kepada mualaf dalam mempraktikkan solat.

“Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mereka yang berumur empat hingga 10 tahun untuk menyertai Kem Anak Soleh yang dijalankan secara serentak,” ujarnya.

Nor Alina menjelaskan, tiada sebarang bayaran dikenakan dan pelbagai pengisian dijalankan seperti ceramah, pembelajaran berkumpulan dan praktikal solat.

Sehingga kini, Persatuan Cina Muslim He-Ping berjaya menganjurkan lima kali Kem Solat Mualaf yang dilaksanakan di Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong. – KOSMO

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *