Home » Langit Terbuka » Mujahid ingatkan ibu bapa hantar anak ke tahfiz berdaftar

Mujahid ingatkan ibu bapa hantar anak ke tahfiz berdaftar

Kegiatan kokurikulum dan aktiviti di pusat tahfiz yang berdaftar dengan kerajaan akan mudah dipantau oleh jabatan agama Islam negeri, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Foto FB

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa menggesa ibu bapa menghantar anak mereka ke pusat tahfiz yang berdaftar, susulan kematian seorang murid tahfiz tujuh tahun semalam.

Beliau merujuk kejadian yang berlaku di sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar di Temerloh, Pahang, yang beroperasi di sebuah rumah dan hanya mula mengambil pelajar awal tahun ini.

Mujahid berkata ini kerana kegiatan kokurikulum dan aktiviti di pusat tahfiz yang berdaftar dengan kerajaan akan mudah dipantau oleh jabatan agama Islam negeri.

Ia bagi mengikut piawaian demi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin, katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan Bernama hari ini (8 November), Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Pahang Othman Nanyan berkata mangsa yang mula belajar di tahfiz itu Oktober lalu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang di Temerloh.

Kanak-kanak itu ditemui dalam keadaaan lemah oleh warden wanita pusat tahfiz itu. Terdapat kesan lebam di badan kanak-kanak itu.

Kata Othman lagi, polis kini telah menahan tiga pelajar tahfiz itu yang berusia 13 tahun untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, Mujahid menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mangsa dan berkata beliau sedih dan kecewa dengan insiden berkenaan.

“Saya rasa sungguh sedih apabila anak yang baru berusia tujuh tahun, baru hendak mengenal dunia menjadi mangsa.

“Saya percaya pada kecekapan pihak polis dan berharap agar hasil siasatan yang dijalankan dapat mengetahui punca kematian anak berkenaan,” katanya lagi. – Malaysiakini

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *