Home » Langit Terbuka » Mujahid nafi Jakim tak berperlembagaan, gesa G25 henti tuduhan

Mujahid nafi Jakim tak berperlembagaan, gesa G25 henti tuduhan

Mebteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan peranan Jakim tidak bercanggah dengan perlembagaan. - Foto NSTP

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusuf Rawa menafikan dakwaan kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 bahawa penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan majlis berkaitan hal ehwal Islam sebagai tidak berperlembagaan.

Mujahid berkata, memandangkan agama Islam merupakan agama rasmi, Putrajaya boleh menubuhkan sesebuah jabatan dan majlis di bawahnya bagi menguruskan pentadbiran kewangan dan agama di peringkat persekutuan dan berhubung dengan negeri-negeri.

“Selama Jakim ditubuhkan, ia adalah hasil dari evolusi pentadbiran Islam di peringkat awal lagi. Ia bermula sebagai unit agama di Jabatan Perdana Menteri, kemudian berkembang kepada Bahagian Hal Ehwal Islam kemudian, lahirlah Jakim.

“Ia untuk menyambut keperluan semasa, termasuk dari aspek pengurusan bajet. Kita tahu dari segi perlembagaan, persekutuan boleh menetapkan kewangan pentadbiran Islam, jadi di manakah yang tidak berperlembagaan.

“Saya nasihat G25 rujuk kita dahulu, mereka sudah rujuk dan kita jelaskan, kenapa benda ini timbul lagi. Akan timbul persepsi dalam kalangan orang ramai bahawa mereka tidak hormat agama Islam,” katanya selepas Perhimpunan Agensi-Agensi di bawah JPM, pada 13 Januari.

Terdahulu, G25 menerusi kertas “Administration of Matters Pertaining to Islam” mendakwa kerajaan bertindak tidak mengikut Perlembagaan kerana tiada peruntukan dalam perlembagaan untuk penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Jakim.

Mujahid berkata, penubuhan Jakim adalah perlu untuk menguruskan elaun imam, guru Kafa dan pegawai penyelaras masjid di seluruh negara. Bahkan turut menegaskan penubuhan Jakim tidak bercanggah dengan undang-undang negeri.

“Siapa yang hendak uruskan itu? Jadi itulah peranan Jakim menguruskan perkara tersebut dan ia tidak bercanggah dengan perlembagaan. Lainlah Jakim campur tangan dengan urusan negeri, maka ia bercanggahlah.

“Dalam lain keadaan, kita ada platform untuk berurusan dengan negeri-negeri, melalui penyelarasan negeri dan apa sahaja pandangan Jakim dari sudut penyelarasan tidak akan membelakangkan kuasa negeri dan sultan-sultan,”katanya. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *