Home » Citra Yadim » Wakaf sebagai sumber ekonomi utama Islam

Wakaf sebagai sumber ekonomi utama Islam

PUTRAJAYA – Amalan berwakaf hari ini perlu diiktiraf sebagai kuasa dan sumber ekonomi utama umat Islam sekiranya mahu melihat potensinya digunakan sepenuhnya.

Presiden Majlis Permuafakatan Wakaf Antarabangsa, Profesor Dr Wan Mohtar Wan Yusoff berkata, wakaf ketika ini tidak boleh dilihat sebagai sumber ekonomi ketiga selepas kerajaan dan swasta, sebaliknya ianya merupakan yang utama sekali.

“Semua kena berjiwa besar, wakaf ini kena dilihat dan lebih penting pendekatan mengurusnya perlu yang utama,”kata beliau dalam sesi Diskusi Meja Bulat (DMB) Nadwah Ulama Ilmuwan Malaysia (NUIM) – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini.

Sesi diskusi tersebut dihadiri oleh hampir 30 ahli NUIM, ahli akademik dan cendekiawan dalam bidang wakaf yang membincangkan tajuk “Pembangunan Wakaf Dalam Ekonomi Malaysia”.

Antara yang hadir ialah Pengerusi NUIM, Datuk Dr Abdul Halim Yusuf, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Al Madinah International Universiti, Profesor Dr Wan Sulaiman Wan Yusuf, Presiden Bank Waqaf Antarabangsa, Dato’ Abu Ubaiah Kemin dan Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endownment Universiti Putra Malaysia (Wazan), Dr Razali Othman.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Datuk Wira Abdul Ghani Samsuddin serta pengurusan kanan baan dakwah ini.

Wakil daripada Yayasan Waqaf  Malaysia serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji turut terlibat dalam sesi ini bagi membuat pembentangan mengenai tajuk berkenaan selain berkongsi pengalaman mereka.

Dalam pada itu Dr Razali dalam sesi ini berkata, sangat penting untuk membina budaya berwakaf di kalangan umat Islam negara ini terlebih dahulu bagi menyuburkan amalan ini.

“Di Barat, sumbangan masyarakat untuk amalan yang seumpama wakaf mencecah 0.3 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar mereka, itu satu nilai yang sangat besar, ini yang kita kena budayakan,” jelasnya.

Razali turut menggesa amalan wakaf di negara ini menggunakan kaedah top down approach iaitu mengutamakan penglibatan pemimpin atau kerajaan terdahulu sebelum melibatkan masyarakat umum.

Sementara itu, persetujuan dicapai dalam DMB ini agar sesi seperti ini diadakan lagi secara berkala selepas ini bagi membincangkan isu isu semasa berkaitan Islam di negara ini umumnya dan dakwah khususnya.

Ia sesuai dengan peranan NUIM yang menjadi pemikir kepada YADIM terutamanya dalam perkara yang membabitkan isu isu semasa dan kepentingan Islam di negara ini.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *