Home » Langit Terbuka » Musuh Islam tidak 
mahu ummah bersatu

Musuh Islam tidak 
mahu ummah bersatu

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Musuh Islam tidak mahu umat Islam bersatu padu sekali gus memastikan mereka kekal dalam perpecahan untuk selama-lamanya.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, pihak musuh kini jadi gelisah apabila menyaksikan umat Islam ber­usaha menyatupadukan saf de­ngan menjadikan Islam sebagai agenda utama.

Menurut beliau, pelbagai pro­­paganda dan provokasi dicetuskan agar umat Islam terus terperangkap dalam krisis perpecahan yang berpanjangan.

“Saat umat Islam pecah dan retak, mereka datang dengan gerak kerja yang terancang untuk menghancurkan umat Islam secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan melalui laman web rasmi Pas Pusat, https://pas.org.my hari ini.

Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul rang undang-undang persendirian oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 dijangka dibentang untuk kali kedua sebelum berakhirnya sidang Dewan Rakyat esok.

Rang undang-undang yang bertujuan memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah dan hanya melibatkan umat Islam itu dipertikaikan oleh ahli-ahli Parlimen daripada DAP dan PAN selepas dibaca untuk kali pertama oleh Abdul Hadi dalam sidang Dewan Rakyat 26 Mei lalu.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh menambah, pelan tindakan dan modus ope­randi musuh Islam itu telah didedahkan oleh Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 102 yang bermaksud: “Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak.”

Beliau memberitahu, iklim sosial dan politik semasa menjadi faktor untuk umat Islam kembali menjulang kehebatan mereka dengan memperkukuhkan dan menyatupadukan tenaga mereka.

“Islam dan syariatnya mesti menjadi sendi utama pada penyatuan ummah ini dan bukannya kepentingan politik dan agenda kuasa pihak tertentu,” jelasnya.

Nasrudin berkata, usaha menyatupadukan umat Islam bagi mengembalikan kekuatan ummah dan menjulang kemuliaan Islam wajib dilakukan serta diterima secara positif oleh semua pihak.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *