Home » Langit Terbuka » NACP dilancar 31 Januari

NACP dilancar 31 Januari

Pelan itu satu daripada 61 inisiatif yang sedang dibincangkan serta telah diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah pada Jun hingga Disember tahun ini, jelas Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara - Foto Ikim.FM

PUTRAJAYA – Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang bertujuan menangani isu-isu governans, integriti dan antirasuah secara menyeluruh akan dilancarkan pada 31 Januari tahun depan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Moahamad.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, perkara itu merupakan satu daripada 61 inisiatif yang sedang dibincangkan serta telah diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada Jun hingga Disember tahun ini.

“Usaha kerajaan dalam meningkatkan integriti dan memerangi rasuah di Malaysia sejak Jun lalu telah mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak termasuk antarabangsa dengan keyakinan agensi luar berbincang dengan kita dalam memerangi rasuah terutama melibatkan NACP.

“Antara agensi luar itu adalah Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Kita percaya akan ada lebih banyak sesi ‘engagement’ dengan pihak antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Taklimat Laporan Pencapaian Akhir Tahun Usaha-usaha Memerangi Rasuah di Malaysia Jun-Disember 2018 di bangunan Perdana Putra, di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull.

JKKMAR sejak Jun lalu telah bermesyuarat sebanyak lima kali dipengerusikan Perdana Menteri dan dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, lima menteri dan seorang timbalan menteri sebagai ahli tetap.

Jelas Abu Kassim, intipati pelan NACP merangkumi beberapa perkara dasar termasuk tiga elemen penting termasuk input daripada manifesto kerajaan, laporan jawatankuasa antarabangsa, cadangan-cadangan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC).

“Semua 61 inisiatif ini ada yang sudah diputuskan dan dilaksanakan namun ada masyarakat tidak tahu mengenainya. Selain itu ada juga yang masih dalam perbincangan berikutan GIACC ini baru ditubuhkan enam bulan.

“Apabila NACP dilancarkan nanti, kita akan ada lebih 100 inisiatif lagi, semua ini adalah usaha untuk menutup ruang dan peluang kepada sesiapa pun terbabit dengan rasuah,” katanya. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *