NADWAH Mahasiswa Timur Tengah 2025 melabuhkan tirainya pada 6 Ogos dengan komitmen daripada para pesertanya ke arah penubuhan satu platform penyatu bagi penyelarasan gerak kerja secara bersama.
Komitmen berkenaan dinyatakan dalam resolusi yang dibacakan bersama oleh wakil-wakil badan-badan utama mahasiswa Malaysia yang menuntut di Arab Saudi, Mesir, Jordan, Maghribi, Tunisia, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu yang hadir ke perhimpunan tersebut di Port Dickson.
Program dianjurkan Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama YADIM itu, telah menghimpunkan hampir 200 pelajar Malaysia dari Timur Tengah bagi membina rangkaian bersama kementerian, agensi kerajaan serta syarikat korporat di Malaysia dalam mencari peluang baharu serta memberi ruang bertemu dengan barisan pemimpin negara masa kini dan berdialog secara langsung bersama mereka.
Sementara itu, majlis penutupan program yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan, turut menyaksikan beliau melancarkan Rakan Siswa YADIM Arab Saudi sebagai inisiatif melestari gerakan dakwah oleh ejen dakwah YADIM di kalangan mahasiswa di negara tersebut.
Hadir sama ke majlis perasmian penutup ialah Pengarah YADIM Negeri Sembilan dan Melaka, Ustaz Abdul Halim Ismail dan Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda, Encik Shahrizal Mat.
Nadwah Mahasiswa Timur Tengah 2025 telah berlangsung pada 4 Ogos lalu yang diisi dengan pelbagai aktiviti seperti forum ilmiah, dialog bersama pemimpin negara dan taklimat kerjaya.



KOMEN