Home » Langit Terbuka » Negeri boleh guna enakmen sedia ada halang kalimah ‘Allah’ diguna agama lain, kata peguam

Negeri boleh guna enakmen sedia ada halang kalimah ‘Allah’ diguna agama lain, kata peguam

Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) memperuntukkan beberapa sekatan yang menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan tertentu agama Islam untuk tujuan agama bukan Islam. - Foto Sinar Harian

PETALING JAYA – Sepuluh negeri termasuk Selangor yang mempunyai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) masih ada kuasa melarang penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Ini termasuk penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam walaupun Mahkamah Tinggi minggu lalu memutuskan ia boleh digunakan penganut Kristian.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang memaklumkan peruntukan dalam enakmen itu juga terjemahan kepada peruntukan yang terkandung di dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

“Larangan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam telah termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) yang telah sedia ada di 10 negeri.

“Peruntukan yang terdapat dalam undang-undang tersebut sebenarnya adalah terjemahan kepada peruntukan yang terkandung di dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau kepada FMT.

Namun, kata Musa, enakmen itu bertujuan untuk melaksanakan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan, bukannya menggugat hak kebebasan beragama masyarakat bukan Islam di negara ini.

“Walaupun penggunaan kalimah Allah dalam Bible hanya dibenarkan dengan peringatan ‘untuk penganut Kristian sahaja’ tetapi tidak bermakna ia tidak disebarkan atau disampaikan dan dibacakan oleh orang Islam juga,” kata beliau, merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu berhubung isu penggunaan kalimah “Allah”.

Malah kata Musa, keputusan Mahkamah Tinggi itu, yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan dan buku agama mereka, belum muktamad dan masih boleh dirayu di peringkat lebih tinggi.

Sekiranya ada rayuan dikemukakan, keputusan itu akan tergantung sehingga rayuan didengar dan keputusan dibuat, tambah beliau.

Musa turut bersetuju dengan ulasan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia Mohamad Azam Mohamed bahawa Perkara 11(4) membenarkan negeri membuat undang-undang pengawalan agama bukan Islam kepada orang Islam.

Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) memperuntukkan beberapa sekatan yang menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan tertentu agama Islam untuk tujuan agama bukan Islam.

Kata Azam, jelas di 10 negeri yang mempunyai Enakmen Agama Bukan Islam memperuntukkan dalam Jadual (Seksyen 9) perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama bukan Islam, antaranya, kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah”, “firman Allah”, “hadis”, “Illahi”, “wahyu”, dan “ibadah” dan perkataan lain yang tersenarai dalam Bahagian I jadual terbabit.

Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Noor Bee Arifin memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri bertarikh 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baituallah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Menurutnya, arahan itu dikeluarkan secara salah dan melampaui tujuan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Semalam, Putrajaya memfailkan notis rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi, dengan salinan diserahkan kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan serta peguam yang mewakili Jill Ireland.

Putrajaya sebelum ini diberi tempoh 30 hari untuk membuat keputusan berhubung tindakan selanjutnya dalam kes itu. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *