Home » Langit Terbuka » NGO Islam gesa pihak berkuasa siasat G25 kritik kedudukan Islam

NGO Islam gesa pihak berkuasa siasat G25 kritik kedudukan Islam

MAPIM menegaskan, G25 tidak berhak mempersoalkan penubuhan, bidang kuasa dan peranan agensi Islam yang terangkum dalam makna serta konsep Islam sebagai agama rasmi negara ini. - Foto MAPIM

PETALING JAYA – Sebuah NGO Islam menggesa pihak berkuasa menyiasat G25 jika kumpulan bekas penjawat awam kanan itu melanggar undang-undang kerana mengkritik dan mempersoalkan kedudukan Islam di negara ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya membantah keras laporan G25 mempersoalkan kewujudan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, G25 cuba mempolemikkan isu Islam dan bidang kuasa agensi Islam di peringkat persekutuan serta negeri untuk mengecilkan peranan Islam hanya sebagai urusan peribadi.

Beliau berkata, kenyataan sensitif dan berbahaya G25 boleh menimbulkan kekeliruan serta kemarahan umat Islam kerana mendakwa ia cuba menafsir Perlembagaan mengikut fahaman sekular, iaitu kedudukan Islam sama dengan agama lain.

“G25 mempertikai kedudukan agensi Islam yang ada kini dengan alasan ia bertentangan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Jelas dengan hanya mengguna hujah yang cetek dalam disiplin perundangan Islam dan bagaimana ia diguna pakai sesebuah negara berdasarkan dalil yang disepakati jumhur ulama, G25 dengan mudah merumuskan kesalahan hukuman murtad perlu diketepikan.

“Kekeliruan dan debat yang sengaja dicetuskan secara terbuka berusaha menonjolkan seolah-olah kedudukan Islam dan bidang kuasa agensi Islam di Malaysia adalah tidak sah.”

Semalam, G25 menerusi kertas “Administration of Matters Pertaining to Islam” mendakwa kerajaan bertindak tidak mengikut Perlembagaan kerana tiada peruntukan dalam Perlembagaan untuk penubuhan MKI dan Jakim.

MKI ialah pihak berkuasa tertinggi kebangsaan dalam penyelarasan perkara mengenai pentadbiran Islam, manakala Jakim ialah sekretariat MKI.

G25 turut dilaporkan mengkritik undang-undang murtad dengan berkata, keputusan seseorang umat Islam keluar dari agamanya ialah urusan antara individu itu dengan Tuhan.

Katanya, pelbagai undang-undang di bawah kerajaan negeri yang menghukum individu murtad sama ada melalui denda, penjara atau pemulihan tidak konsisten dengan Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama.

Hari ini, Mapim berkata, G25 tidak berhak mempersoalkan penubuhan, bidang kuasa dan peranan agensi Islam yang terangkum dalam makna serta konsep Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Ia menggesa kerajaan terus mempertahankan kedudukan Islam di negara ini dan Majlis Raja-raja Melayu berkuasa dalam melindungi serta membangunkan Islam di peringkat negeri dan kebangsaan. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *