Home » Citra Yadim » NGO Islam perlu bantu kerajaan

NGO Islam perlu bantu kerajaan

KUALA LUMPUR 20 Jun – Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam perlu bersama-sama membantu kerajaan dalam usaha memperkasakan Islam di negara ini, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, usaha memperkasakan Islam tidak boleh diletakkan semata-mata kepada kerajaan sahaja kerana ia melibatkan usaha yang besar dan bersepadu kerana cabaran yang perlu ditempoh adalah sangat besar.

“Justeru, kerajaan amat berharap setiap langkah yang diambil untuk memperkasakan agama Islam di bumi Malaysia ini, sentiasa mendapat sokongan dan dokongan yang kuat daripada organisasi Islam seluruhnya iaitu NGO-NGO Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar NGO Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Masjid Wilayah Persekutuan pada 17 Jun.

Pada majlis itu seramai kira-kria 350 wakil-wakil NGO Islam dari 65 organisasi hadir termasuk daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Parti berkenaan diwakili oleh Ahli Parlimen Kota Bharu yang juga Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan Tantawi. Takiyuddin turut berucap pada majlis berkenaan.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Yadim, Dr. Yusri Mohamad dan ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim.

Majlis berkenaan adalah majlis tahunan Yadim bertujuan merapatkan hubungan di antara badan-badan berkenaan selain memberi peluang kepada semua NGO itu berinteraksi dan bertukar-tukar fikiran bagi memantapkan lagi gerakan Islam di negara ini.

Sementara itu, Takiyuddin dalam ucapannya berkata, majlis yang diadakan itu amat penting dalam rangka merapatkan hubungan semua pihak terutama dalam usaha menyatupadukan ummah berlandaskan kesatuan akidah.

“Sememangnya dalam soal memperjuangkan Islam, tidak ada jalan lain selain bersatu-padu dan tidak boleh berpecah-belah,” katanya.

Menurutnya, masyarakat Islam boleh berbeza pendapat dalam soal politik tetapi apabila menyentuh soal agama, semua pihak perlu mempunyai tujuan yang satu iaitu memperkasakan agama Islam dan institusinya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *