Home » Persuasif » Perpaduan tunjang kekuatan ummah

Perpaduan tunjang kekuatan ummah

SUATU inisiatif yang dipelopori oleh Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dalam kerangka menyeru umat Islam bersatu telah pun dipacu dengan baiknya.

Multaqa Perpaduan Ummah telah dibentuk bagi melihat kebersamaan dalam kalangan pemimpin, NGO dan semua pihak berkepentingan meminggirkan minda pertikaian sesama sendiri. Usaha ini seharusnya diberikan perhatian dan sokongan agar perpaduan dalam kalangan umat Islam tidak sekadar ilusi.

Sebagai pemimpin sebuah NGO Islam saya percaya NGO dapat memainkan peranan ke arah merealisasikan hasrat Multaqa Perpaduan Ummah mencari pendekatan berhemah untuk menyatupadukan umat Islam, khususnya di Malaysia.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seharusnya bersifat non-partisan terhadap politik kepartian. Politik kepartian yang hanya melihat perbezaan adalah wabak yang perlu dibendung.

Walaupun tidak menyertai pilihan raya NGO khususnya NGO Islam Malaysia melihat pilihan raya sebagai salah satu wadah perubahan masyarakat.

Atas prinsip tersebut NGO Islam sentiasa menjalin hubungan dengan parti politik tanpa mengira sama ada parti kerajaan ataupun pembangkang. NGO sebagai kuasa ketiga hendaklah dilihat sebagai melengkapi perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia.

Bagi ahli politik pula adalah menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat dipilih ataupun ahli politik yang lain untuk mendaulatkan Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Apatah lagi, sebagai sebuah negara majoriti Islam yang mengiktiraf peranan penting Islam dalam sistem politik, ekonomi, pendidikan dan undang-undang. Tidak kiralah cadangan yang membawa kebaikan kepada agama Islam daripada siapa pun, ia mesti disokong tanpa mengenal warna-warni politik yang dilakar.

Islam yang dinyatakan di sini adalah Islam dalam erti kata yang sebenar iaitu sebagai sebuah cara hidup, bukan terhad kepada amalan ritul atau ibadah khusus semata-mata. Ia juga termasuk menjaga integriti badan perundangan seperti Parlimen dan agensi kerajaan agar bebas daripada rasuah, salah guna kuasa atau menjadi ejen perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Pembetulan secara dalaman atau intra umat Islam juga perlu dilakukan bagi memastikan negara akan maju dan dapat mendaulatkan Islam kerana umat Islam adalah komposisi penting dan terbesar di dalam demografi rakyat Malaysia.

Manakala dalam isu inter agama pula umat Islam daripada kalangan NGO dan pertubuhan politik mestilah bersatu atas asas akidah yang satu. Terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh umat Islam yang memanggil umat Islam duduk semeja untuk menyelesaikan segala permasalahan antara agama dengan hikmah yang didasari oleh jurisprudens Islam itu sendiri.

Segala usaha hendaklah dipadukan bagi meningkat tahap profesionalisme dan keberkesanan agensi Islam dalam mendaulatkan Islam di Malaysia termasuklah dalam isu perpaduan umat.

Seorang Muslim yang baik sudah pasti menjadi warga negara dibanggakan. Proses pembentukan jati diri Muslim perlu dilaksanakan melalui sistem pendidikan yang mementingkan Islam sebagai satu cara hidup.

Namun dalam pelbagai aspek terdapat perkara-perkara yang perlu dinilai semua kerana ia menjauhkan umat Islam dari jati diri dan akhlak Islam itu sendiri. Untuk tujuan ini bilangan pegawai penguat kuasa agama (PKA) dan profesionalisme mereka dalam membanteras gejala maksiat dan salah laku moral perlu dipertingkatkan. Kerajaan dituntut melaksanakan undang-undang anti maksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan.

Semua pihak hendaklah memahami aspirasi dan sensitiviti umat Islam dalam merangka dasar dan melaksanakan program membina masyarakat berakhlak terpuji.

Program berunsur pendidikan Islam dan moral perlu diperbanyakkan dan disiarkan pada waktu puncak dan azan sepenuhnya hendaklah disiarkan setiap waktu.

Program hiburan mempromosi budaya hedonisme Barat hendaklah dihentikan termasuk program hiburan realiti. Sistem politik dan tadbir urus baik adalah syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara.

Kesejahteraan rakyat akan terbela dengan mewujudkan sistem politik adil, tadbir urus baik dan sistem penyampaian cekap. Kerajaan dipilih hendaklah bebas daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Sebagai sebuah negara majoriti umat Islam yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian hubungan adalah ramuan utama kestabilan politik dan ketenteraman awam. Usaha ekstremis agama dan perkauman sempit hendaklah ditolak.

Oleh demikian, pemimpin dipilih hendaklah mempertingkat komitmen terhadap keharmonian hubungan kaum dan agama.

Hanya dengan perpaduan umat Islam akan cemerlang dalam pelbagai bidang.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *