Home » Langit Terbuka » NGO Malaysia dinasihat patuh arahan pihak Indonesia dalam misi di Palu

NGO Malaysia dinasihat patuh arahan pihak Indonesia dalam misi di Palu

Timbalan Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia berkata, NGO perlu menyelaraskan operasi mereka dengan pihak berkuasa di Indonesia agar dapat menghantar bantuan kemanusiaan yang perlu sahaja ke Palu

KOTA PALU – Pihak kedutaan Malaysia di Indonesia menasihati semua badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia agar mematuhi arahan pihak berkuasa Indonesia dalam misi kemanusiaan di Palu, Sulawesi.

Timbalan Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, Zamshari Shaharan berkata, NGO perlu menyelaraskan operasi mereka dengan pihak berkuasa di Indonesia agar dapat menghantar bantuan kemanusiaan yang perlu sahaja ke Palu.

“Pada 1 Oktober lalu, kita di Kedutaan Malaysia di Jakarta telah bermesyuarat dengan Kementerian Luar Indonesia dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) agar semua bantuan dari luar Indonesia dapat diselaras.

“Pihak Indonesia juga meminta NGO luar agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuat kuasa di kawasan bencana,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika ini, ramai NGO Malaysia yang telah sampai di Palu sejak beberapa hari lalu untuk misi bantuan bencana gempa bumi dan tsunami.

Dalam pada itu, Zamshari berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Indonesia untuk mengangkut barang-barang keperluan utama dan jentera berat ke Palu.

“Setakat ini, kita telah dibenarkan untuk menggunakan pesawat A400M dan C130H milik TUDM untuk misi di Palu.

“Pihak Indonesia mahu kita membantu menerbangkan muatan besar seperti lori tangki minyak lima ke 12 tan dan juga barangan makanan,” katanya.

Setakat ini, pesawat TUDM A400M menjadi pesawat pengangkut tentera terbesar yang berjaya mendarat di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri untuk misi kemanusiaan di Palu. – Bernama

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *