Home » Analitis » Nyawa amat berharga

Nyawa amat berharga

ISLAM sebagai agama yang mementingkan kesejahteraan dan kehidupan bermasyarakat secara harmoni, amat menitikberatkan persoalan nyawa seseorang.

Islam mengharamkan pembunuhan hatta jika seseorang itu telah melakukan satu kesalahan.

Kesalahan seseorang perlu diadili sebaik mungkin, kerana Islam tetap memberikan peluang kedua dengan membuka pintu taubat, agar mereka yang bersalah itu kembali ke pangkal jalan.

Banyak peristiwa yang berlaku pada zaman Rasullullah SAW. berhubung dengan kes pembunuhan, walaupun secara tradisinya “hukum darah dibayar dengan darah”, tetapi dalam masa-masa yang tertentu baginda pernah tidak melaksanakannya.

Baginda memberikan ruang kepada pesalah yang telah menyesali kesilapannya untuk memulakan hidup baru dengan penuh etika dan susila.

Namun, dalam peraturan moden yang berdasarkan hak setiap orang, mereka yang didapati melakukan kesalahan membunuh, akan tetap berakhir dengan kematiannya sendiri.

Ini merupakan perspektif keadilan sosial, kerana tanpa mempertimbangkan unsur-unsur kemanusiaan, hakikat sebuah nyawa mereka yang melakukannya sanggup merentap nyawa orang lain secara terpaksa dan tersiksa.

Atas pertimbangan itulah maka undang-undang memberikan lowongan yang sama, apabila terbukti seseorang itu melakukan pembunuhan (melucutkan nyawa seseorang), hukuman yang sama harus dikenakan ke atasnya.

Apa yang menjadi persoalan ialah dengan melucutkan nyawa seseorang yang bersalah, ia akan menjadi pengajaran kepada masyarakat kebanyakan bahawa nyawa itu adalah sesuatu yang amat berharga.

Seseorang tidak boleh melakukan pelanggaran hak dan membunuh sewenang-wenangnya walaupun dalam sesetengah keadaan, ia telah bermula dengan sebuah pertengkaran yang boleh menyumbang kepada kepekatan emosi geram dan marah.

Dalam suasana marah yang mendalam, emosi telah menguasai pemikiran maka di situlah keputusan drastik berlaku dengan mangambil jalan pintas.

Orang juga sanggup membunuh demi atas alasan agama. Kita mungkin dapat mempelajari bagaimana dalam sejarah manusia, ada pihak yang sanggup menggunakan agama bagi menghalalkan sesuatu bentuk pembunuhan.

Kalau di zaman purba kita mendengar, setiap tahun akan adanya rakyat yang dikorbankan kepada dewa-dewa bagi membolehkan sebuah kehidupan yang aman, hasil tanaman yang meningkat dan dijauhkan dari sumpahan malapetaka (termasuk banjir besar, kemarau berpanjangan dan wabak penyakit), perbuatan tersebut dianggap zalim dan menakutkan.

Namun di zaman moden, dengan kecanggihan teknologi, atas nama agama juga mereka sanggup menipu pengikutnya demi mencapai cita-cita seorang pemimpin yang tamakkan kuasa.

Kita mendengar, kerana terikut-ikut dengan fahaman bahawa dunia semakin sesat, maka dihalalkan pembunuhan beramai-ramai hatta melibatkan rakyat kebanyakan.

Kita mungkin masih ingat bagaimana seorang pemimpin spiritual di Jepun sanggup menggunakan gas sarin di sebuah stesen keretapi bawah tanah, kerana percayakan bahawa perbuatan itu merupakan satu hakikat sebuah kepercayaan beragama.

Tanpa melakukannya, pengikut dan amalan mereka tidak akan diterima oleh Tuhan.

Pengalaman bagaimana seorang pemimpin ajaran sesat di Amerika Syarikat, Jim Jones kira-kira tiga dekad lalu, memaksa pengikutnya meminum sejenis racun.

Mereka percaya selepas meminum racun tersebut, mereka akan mati dan selepasnya mereka akan dibangkitkan kembali dengan lebih rasa terhormat dan mulia di sisi keyakinan dan di mata Tuhan.

Betapa kerdilnya jiwa manusia, sebuah nyawa yang amat bermakna menjadi taruhan yang begitu murah harganya. Atas alasan yang remeh, manusia sanggup membunuh.

Atas alasan yang hanya perasaan tertekan manusia sanggup membunuh. Atas alasan kerana dibelenggu oleh hutang dan terdesak untuk melunaskan hutang, seorang jiran sanggup membunuh isteri dan anak jirannya sendiri.

Atas alasan memungut kembali hutang, ada manusia sanggup menyiksa dan membunuh. Inilah sebuah lambang kemanusiaan yang semakin pudar dan amat terpengaruh dengan faham kebendaan yang melampau.

Agama dikesampingkan. Nilai moral bukan lagi menjadi perimbangan. Soal hati menjadi taruhan yang wajar, tetapi tidak pula memikirkan soal hati dan perasaan orang lain.

Yang penting ialah soal hati sendiri menjadi puas. Meskipun kepuasan itu hanyalah sementara, iaitu pada manusia riwayat musuh itu ditamatkan, hati sebenarnya semakin resah untuk menghadapi kenyataan.

Hati sentiasa dirundung kebimbangan, mula mensyaki mungkinkah ada saksi yang melihat atau ada bekas bukti yang tertinggal atau ada petunjuk yang boleh membocorkan rahsia tersebut.

Dalam hal ini ternyata, kerana setiap pembunuhan berlaku, kebimbangan dan kegusaran tetap bersarang dalam diri pelakunya. Apatah lagi jika pembunuhan itu dilakukan secara berkumpulan, ia mungkin akan menyebabkan rahsia terbongkar.

Dalam tragedi yang menyayatkan hati ini jelas membuktikan semakin banyak rahsia akan terbongkar dan tentunya masyarakat akan menantikan apakah keputusannya. Masyarakat akan terus membuat penilaian bahawa, manusia sanggup melakukan apa sahaja jika pertimbangan kemanusiaan dalam dirinya sudah hilang, hatta membunuh sekali pun.

Kejahatan atau pembunuhan atas apa alasan sekalipun merupakan suatu bentuk kezaliman. Ia merupakan sebuah petanda manusia sudah hilang hemah diri dan susila bermasyarakat.

Ia adalah sebuah petanda manusia walaupun mempunyai sifat berani, jiwanya adalah jiwa pengecut.

Jiwa yang tidak berani menghadapi cabaran dan mengharungi sebuah kehidupan yang sentiasa menuntut kita berlapang dada dan berfikiran terbuka. Kita yang bertanggungjawab untuk memberikan nilai terbaik dalam kehidupan dan kesejahteraan sejagat nampaknya semakin gagal memainkan peranan asasi itu.

Manusia menjadi semakin resah dan gelisah, sehingga menganggap kehidupan ini sudah tidak aman dan dibelenggu ketakutan.

Kita bergelut dengan sebuah kehidupan yang tidak lagi boleh ditentukan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.

Kita sentiasa menjadi resah, tatkala ingin keluar rumah mencari rezeki, akan ada pihak yang mengekorinya kerana ingin sesuatu walaupun sekadar merampas apa yang ada dalam beg tangan atau beg sandang.

Tatkala itulah kita mula merasakan dirinya setiap masa berada dalam suasana yang terancam, walaupun sebenarnya kita bukanlah seseorang yang bergelar jutawan dan mempunyai banyak wang.

Membunuh dalam apa jua keadaan merupakan suatu kejahatan. Ia merupakan suatu bentuk perbuatan yang amat keji, terkutuk dan sukar diampuni Allah SWT.

Jika seseorang itu membunuh, sebenarnya dia telah mengingkari ciptaan Allah SWT. Seseorang yang membunuh juga bererti dia telah menghancurkan ciptaan Allah SWT iaitu telah memutuskan rahmat-Nya, sekali gus memutuskan silaturahim, dan memutuskan rantaian kehidupan alam ciptaan-Nya.

Sebaliknya, sesiapa yang memelihara dan menyayangi kehidupan seseorang manusia, sikapnya itu disamakan dengan memelihara dan menyayangi kehidupan manusia seluruhnya.

Dalam hal ini, Rasulullah mengingatkan menerusi sabda baginda yang bermaksud: “Perkara pertama yang akan diadili di hadapan Allah di hari kiamat adalah masalah darah (pembunuhan).” (Riwayat Bukhari, Muslim, an-Nasa’i Ibnu Majah, dan Tirmidzi)

Itulah ketetapan daripada Allah SWT, Pencipta dan Penguasa alam semesta. Betapa indah dan adilnya Allah SWT dalam menetapkan aturan bagi makhluk ciptaan-Nya, iaitu suatu ketetapan yang mengandungi nilai-nilai kemanusiaan yang teramat tinggi.

Islam mengajarkan kepada umatnya untuk bersama-sama menjaga ketenangan, kedamaian, dan kebahagiaan hidup bermasyarakat. Hal ini berlaku kerana dalam suasana hidup yang penuh ketenangan dan kedamaian, manusia akan lebih mudah melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya.

Oleh sebab itulah Allah SWT melarang hamba-Nya menumpahkan darah atau membunuh atas apa alasan sekalipun, kecualilah dalam keadaan terpaksa setelah menerima ancaman dan mempertahankan diri.

Allah SWT menegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “… dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah s.w.t (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahami.” (al-An’aam: 151).- ABABIL

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *