Home » Langit Terbuka » Pakai purdah tidak perlu pelitup muka dalam kajian KKM

Pakai purdah tidak perlu pelitup muka dalam kajian KKM

Apa yang cuba dilakukan kerajaan tentang cadangan menggunakan purdah itu bertujuan memudahkan rakyat menutup muka dan tidak membebankan kewangan mereka. - Foto SCMP

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyenaraikan beberapa bentuk pemakaian untuk dikaji oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada boleh dijadikan sebagai pelitup muka atau sebaliknya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara cadangan itu ialah perempuan yang berpurdah tidak perlu lagi memakai pelitup muka, termasuk kain selendang dan penutup kepala boleh dijadikan topeng menutup hidung dan mulut.

Katanya, beliau telah kemukakan cadangan itu dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pagi ini dan KKM telah mengambil maklum untuk membuat kajian.

Selain itu, kata beliau, dalam mesyuarat itu juga pihaknya telah membangkitkan mengenai pelitup muka untuk murid dan pelajar, yang dicadangkan menggunakan kain yang dijahit bagi penggunaan secara berulang.

“Saya sudah bangkitkan dalam mesyuarat khas ini. Saya cadangkan kain yang dijahit sebagai pelitup muka itu boleh dibasuh dan dipakai berulang kali. Ini bagi menjimatkan kos mungkin keluarga B40 tidak mampu membelinya setiap hari.

“Kita minta KKM buat kajian dahulu. Kita mahu pelitup muka itu hanya dibeli sekali dan digunakan berulang kali untuk tempoh sebulan atau dua bulan.

“Selepas guna, mereka tidak perlu buang atau tukar, sebaliknya cuci sahaja,” katanya pada sidang media khas mengenai Covid-19 di sini, pada 10 Ogos.

Mengenai cadangan penggunaan purdah dan selendang, Ismail Sabri berkata, apa yang cuba dilakukan kerajaan itu adalah bertujuan untuk memudahkan rakyat menutup muka dan tidak membebankan sumber kewangan mereka. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *