Home » Langit Terbuka » Palestin giat kempen, dapatkan nasihat ICJ

Palestin giat kempen, dapatkan nasihat ICJ

AMMAN 24 Dis. – Palestin kini sedang menggiatkan kempen untuk mencari pengganti Amerika Syarikat (AS) selaku orang tengah dalam proses rundingan damai dengan Israel.

Arab News melaporkan, perkara itu didedahkan oleh seorang pemimpin veteran Palestin, Nabil Shaath baru-baru ini.

Menurut Nabil, ‘khidmat’ AS selaku orang tengah dalam proses tersebut kini telah berakhir berikutan tindakan Presiden Donald Trump mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Nabil yang juga Penasihat Kanan kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, antara negara yang berpotensi untuk tujuan itu termasuk Rusia dan China.

“Maklum balas yang kami terima mendapati, Moscow dan Beijing merupakan antara negara memenuhi kriteria itu.

“Kedua-dua negara serta beberapa negara Eropah telah menyatakan minat untuk terus menyokong usaha kami mencipta mekanisme baharu bagi memastikan rundingan damai itu tercapai,” katanya.

Nabil bagaimanapun memberi­tahu, penduduk Palestin yang tidak menentang AS juga dianggap sebahagian daripada ranca­ngan tersebut.

“Kami juga tidak mempunyai masalah dengan warga AS untuk membentuk mekanisme baharu ini kerana kami mempunyai rangka kerja antarabangsa yang jelas ke arah perdamaian,” jelas beliau.

Tambah Nabil, pihaknya akan berusaha memastikan Palestin diiktiraf dalam pelbagai forum di seluruh dunia selain mendapatkan nasihat kehakiman daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perkara itu.

Ketika ini, Mahmoud sendiri dilaporkan ‘turun padang’ untuk berunding dengan pemimpin kepada beberapa negara bagi mencari pengganti AS.

Dalam lawatan kerjanya ke Paris dan Riyadh untuk bertemu pemimpin Perancis dan Arab Saudi, beliau dikatakan mengulangi kenyataan bahawa AS tidak lagi layak menjadi orang tengah kerana telah mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sekali gus mengganggu pro­ses rundingan damai.

Selain alasan tersebut, Mahmoud juga mendakwa bahawa AS telah menentang keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung resolusi yang dipersetujui hampir sebahagian besar negara anggota pertubuhan itu dalam isu berkenaan, Khamis lalu. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *