Home » Langit Terbuka » Palestin kecewa sikap negara Arab

Palestin kecewa sikap negara Arab

Palestin mempertikaikan kehadiran wakil wakil Negara Arab di Bahrain bulan depan, sedangkan mereka sendiri memutuskan tidak menghadirinya. - Foto WFTU.com

BAITULMUQADDIS – Palestin menegaskan ‘tidak akan mengiktiraf mana-mana pihak yang bercakap atau berunding bagi pihaknya’ ketika berlangsungnya persidangan pelan damai diketuai Amerika Syarikat (AS) di Manama, Bahrain bulan depan.

Amaran itu disuarakan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat.

Lapor Jerusalem Post, pentadbiran AS merancang untuk mendedahkan perancangan ekonomi dalam pelan damai Palestin-Israel pada persidangan itu nanti.

“Bagi mereka yang akan pergi, dan ini adalah keputusan mereka, kami tidak mengiktiraf sesiapa yang bercakap atas nama Palestin. Sekiranya rakyat Palestin tidak berada di situ dan kepimpinan Palestin juga tidak berada situ, mengapa mereka mengambil bahagian?” soal beliau.

Kenyataan Saeb itu susulan kebimbangan memuncak di Ramallah berhubung beberapa negara Arab bersetuju untuk menyertai persidangan itu di sebalik bantahan Palestin.

Seorang pegawai kanan Palestin yang enggan dikenali menjelaskan, golongan Arab memberitahu bahawa mereka berdiri di belakang orang Palestin, namun pada masa yang sama mereka bekerjasama dengan pentadbiran AS untuk menjatuhkan Palestin.

“Mengapa negara Arab bertindak membelakangi janji-janji mereka terhadap Palestin di semua sidang kemuncak Liga Arab dan Inisiatif Keamanan Arab pada 2002,” jelasnya.

Selain Bahrain, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mengumumkan penyertaan mereka pada persidangan itu.

Palestin bimbang sekiranya Jordan, Mesir, Qatar dan negara Arab lain turut menghantar delegasi ke persidangan terbabit.

Dalam perkembangan berlainan, Israel telah menarik balik sekatan aktiviti perikanan di luar pesisir pantai Semenanjung Gaza.

Langkah itu dibuat bagi mengelakkan situasi kemanusiaan di kawasan Palestin lebih meruncing. – AFP

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *