Home » Langit Terbuka » Palestin minta bantuan Malaysia dan beberapa negara halang cadangan bahagikan Masjid Al-Aqsa

Palestin minta bantuan Malaysia dan beberapa negara halang cadangan bahagikan Masjid Al-Aqsa

Gambar fail – AFP

RAMALLAH: Draf rang undang-undang yang sedang dibincangkan di Israel untuk membahagikan Masjid Al-Aqsa antara orang Islam dan Yahudi menimbulkan kebimbangan Palestin.

Negara yang ditindas Israel itu juga bercadang untuk meminta sokongan dari Malaysia, Turkiye, Indonesia dan Mesir bagi menghalang undang-undang itu dilaksanakan.

Rang undang-undang yang berpotensi meningkatkan ketegangan itu dicadangkan oleh ahli Parlimen dari Parti Likud, Amit Halevi.

Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh memberi amaran kepada Israel untuk tidak menyerahkan draf undang-undang itu kepada parlimen dalam masa terdekat.

Shtayyeh menegaskan langkah itu akan mengakibatkan kemarahan yang melampau dan kesan yang sukar diramal kerana kesucian dan nilai keagamaan Masjid Al-Aqsa untuk rakyat Palestin, orang Arab dan muslim.

Beliau menyeru negara Arab dan negara Islam serta komuniti antarabangsa mengambil tindakan lebih tegas dan tidak sekadar mengeluarkan kenyataan kecaman.

Mereka juga digesa mengenakan sekatan yang akan menghalang sebarang perubahan kepada Masjid Al-Aqsa dan menghentikan sebarang pencabulan tapak suci Islam dan kristian di Baitulmaqdis.

Sementara itu Penasihat Presiden Bagi Hal Ehwal Baitulmaqdis, Ahmed Al-Ruwaidi mengecam tindakan itu dan menyifatkan ia satu lagi usaha Israel untuk meluaskan kawalannya.

Beliau berharap rang undang-undang itu tidak akan terlaksana kerana bimbang kesannya terutama kepada orang awam. — AlHIjrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *