Home » Langit Terbuka » Panduan tatacara pelaksanaan tulisan jawi sedang disiapkan

Panduan tatacara pelaksanaan tulisan jawi sedang disiapkan

Bagi tujuan pemerkasaan pelaksanaan tulisan Jawi,Menteri Pendidikan berkata,pihaknya akan menyediakan ruang penulisan tulisan itu dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka . - Foto NTH Mdia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam proses menyediakan garis panduan berkaitan tatacara pelaksanaan pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, surat siaran akan diedarkan kepada semua sekolah di seluruh negara sebelum bermulanya sesi persekolahan 2020 bagi memastikan pelaksanaan pengenalan tulisan jawi di sekolah tahun hadapan berjalan lancar.

“Walau apa pun isu yang timbul berkenaan pengenalan tulisan jawi ini, saya ingin tegaskan bahawa KPM akan terus melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan tulisan jawi sebagai sejarah warisan negara diperkasakan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa,” katanya pada sesi Persidangan Kamar Khas Dewan Rakyat di sini.

Maszlee berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai Kurikulum Standard Sekolah Rendah semakan bagi subjek Bahasa Melayu Tahun 4 dan pengenalan Seni Tulisan Khat sebagai pengisian tambahan.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan memutuskan pelaksanaan tulisan khat jawi akan dilaksanakan secara pilihan dan hanya akan dilakukan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid sekolah jenis kebangsaan (SJK) manakala di sekolah kebangsaan akan diteruskan seperti biasa.

Untuk tujuan pemerkasaan pelaksanaan itu beliau berkata,pihaknya akan menyediakan ruang penulisan tulisan jawi dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Tamadun Islam, Tunas Cipta, Dewan Pelajar yang boleh disebarkan kepada murid pelbagai kaum.

“Selain itu, KPM akan melantik Munsyi Dewan (Jawi) dalam kalangan penggiat tulisan jawi. Sehingga kini, terdapat 51 Munsyi Dewan (Jawi). Kementerian akan melaksanakan program dan klinik Jawi seperti Kursus Pembinaan Munsyi Dewan (Jawi) serta Kursus Pengkaedahan Jawi Guru KAFA,” katanya.

Walaupun tiada keperluan menetapkan setiap murid wajib lulus pengenalan tulisan jawi buat masa ini, Maszlee berkata,ia merupakan strategi bagi menyokong pelaksanaan kemahiran bahasa selain memperkayakan murid dengan pengetahuan seni, warisan serta Bahasa Melayu.

Katanya, tulisan jawi bukan merupakan suatu mata pelajaran atau subjek, tetapi diperkenalkan sebagai aspek seni bahasa. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *