Home » Langit Terbuka » Patuhi etika berpakaian di masjid

Patuhi etika berpakaian di masjid

Pemakaian jubah khas berwarna ungu yang ditetapkan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, adalah praktik yang juga dilakukan oleh rumah ibadat agama-agama lain.

SHAH ALAM – Etika pemakaian ditetapkan di masjid bukanlah sesuatu yang mengongkong, sebaliknya ia bertujuan memelihara kemuliaan rumah ALLAH SWT. Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pemakaian jubah khas berwarna ungu yang ditetapkan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, adalah praktik yang juga dilakukan oleh rumah ibadat agama-agama lain.

“Islam amat menekankan untuk menghormati masjid, begitu rumah-rumah ibadat agama lain.

“Penghormatan yang diberikan oleh Islam ini menunjukkan betapa Islam mengiktiraf kewujudan agama-agama lain dan memelihara hak-hak mereka,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Menurutnya, secara umumnya setiap rumah ibadat agama-agama ada menetapkan kod etika pemakaian walaupun ia mungkin tidak tertera secara jelas dalam kitab suci masing-masing.

“Pergilah sama ada ke gereja, kuil Hindu, gurdwara, wat dan tokong di Malaysia, kesemuanya mempunyai kod etika pemakaian masing-masing yang dipatuhi dan dihormati sekian lamanya.

“Ia diterima dengan baik tanpa bantahan oleh mana-mana pihak, sama ada yang beragama Islam mahupun tidak, malah peraturan ini seakan sudah menjadi satu kesepakatan pada rumah-rumah ibadah seluruh dunia,” katanya.

Beliau mengambil beberapa contoh rumah ibadat lain termasuk Kuil Angkor Wat, Gereja Pope di Vatican City, Kuil Sri Mariamman Singapura dan Synagogue Yahudi iaitu Whitefield Hebrew Congregation.

Sehubungan itu katanya, jika terdapat individu tidak mematuhi etika berpakaian ketika berada di tempat suci itu dan sekiranya tindakan itu adalah satu bentuk yang boleh dianggap sebagai provokasi ataupun pengingkaran terhadap peraturan masjid, pihak pengurusan masjid berhak meminta mereka mematuhi peraturan dan mengambil tindakan bersesuaian atas tindakannya di bawah kuasa diberikan. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *