Home » Langit Terbuka » PDRM siasat tiga kes hina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam

PDRM siasat tiga kes hina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam

Ketua Polis Negara berkata, ketiga-tiga kes berkenaan disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar tidak membuat, menyebarkan atau berkongsi sebarang kenyataan jelik yang boleh menggugat ketenteraman awam serta menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang agama juga kaum di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat hari ini, sebanyak tiga kertas siasatan bersabit kes penghinaan ke atas agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aisyah telah dibuka.

“Setakat pukul 9 pagi Ahad, sejumlah 478 laporan polis telah diterima berhubung kes penghinaan melalui kata-kata dan infografik oleh pemilik akaun Facebook, Foo Sing Wai dan suspek berusia 68 tahun itu telah ditangkap pada 19 Februari serta direman selama tiga hari hingga 22 Februari lalu.

“Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan diberi jamin polis berikutan faktor umur serta komplikasi kesihatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Mohamad Fuzi, pihaknya turut menerima 11 laporan polis berhubung kes kata-kata hinaan oleh pemilik akaun Facebook, Sarkar Tanesan terhdap Nabi Muhammad SAW dan umat Islam dengan perkataan yang jelik.

“Suspek berusia 21 tahun itu telah ditangkap pada 21 Februari lalu dan tahanan reman telah dilanjutkan sehingga 25 Februari bagi membantu siasatan lanjut.

“Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik akaun Facebook, Sally Yen serta pihak yang menularkan semula muat naik asal pemilik akaun berkenaan yang dibuat pada 2013,” katanya.

Jelas Mohamad Fuzi, muat naik asal telah dibuat oleh pemilik akaun berkenaan pada tahun 2013 melibatkan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW serta agama Islam dan sebanyak 16 laporan polis telah ditema.

“Kes berkenaan bagaimanapun diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut oleh pihak pendakwa raya kerana pemilik akaun berkenaan tidak dapat dikenalpasti setelah dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk pengesahan.

“Polis kini sedang dalam usaha untuk mengenalpasti pemilik akaun serta pihak yang menularkan semula muat naik berkenaan dan setakat hari ini sebanyak dua laporan polis berhubung kes ini telah diterima,” ujarnya.

Tegas Mohamad Fuzi, ketiga-tiga kes berkenaan disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Kosmo

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *