Home » Langit Terbuka » TH kekal dibawah bidang kuasa JPM

TH kekal dibawah bidang kuasa JPM

Pejabat Perdana Menteri menegaskan, Tabung Haji kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri dan perkara itu tidak berubah dengan pengenalan syarikat tujuan khas, seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet. - Foto Utusan Malaysia

PUTRAJAYA – Dakwaan dan tuduhan bahawa bidang kuasa Lembaga Tabung Haji (TH) dipindahkan kepada Kementerian Kewangan adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.

Pejabat Perdana Menteri menegaskan, TH kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri dan perkara itu tidak berubah dengan pengenalan syarikat tujuan khas (SPV), seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet.

“Pemindahan aset-aset tersebut kepada SPV adalah sebahagian usaha mengembalikan keadaan kewangan TH kepada normal dan mempercepatkan pemulihan kewangan institusi tersebut setelah berlakunya salah laku secara besar-besaran.

“TH juga diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM). BNM sebagai badan yang bebas, dan di bawah pimpinan Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus, mengawal selia semua bank dan institusi kewangan di dalam negara, termasuk institusi-institusi kewangan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

TH sebelum ini dikatakan telah dilemparkan dakwaan dan tuduhan bahawa bidang kuasa lembaga itu dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Kewangan setelah keputusan Kabinet untuk memindahkan aset-aset yang tidak menguntungkan kepada SPV milik kerajaan.

Pada Disember lalu, media melaporkan bahawa TH akan memindahkan aset yang tidak menguntungkan bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada SPV menjelang 31 Disember 2018, bermatlamat memantapkan kedudukan kewangannya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti, manakala SPV itu akan dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Untuk rekod, sesebuah SPV ditubuhkan untuk menjalankan projek tertentu, biasanya berkenaan dengan pelaburan dan dalam tempoh masa yang ditetapkan. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *