Home » Langit Terbuka » Pegawai operasi kanan Al-Qaeda antara 5 ditahan

Pegawai operasi kanan Al-Qaeda antara 5 ditahan

PDRM
Menurut sumber, suspek berusia 50 tahun yang merupakan bekas pegawai operasi kanan Al-Qaeda ditahan di Selangor pada 13 Oktober lalu. - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Rancang jadikan Malaysia sebagai pangkalan bagi mengumpulkan dana dan merancang serangan di negara ketiga untuk meng­aktifkan semula Al-Qaeda.

Itu dikhuatiri dilakukan seorang daripada lima suspek pengganas yang ditahan bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi di ibu negara, Selangor, Perak dan Sabah bermula 13 Oktober hingga 26 Oktober lalu.

Menurut sumber, suspek berusia 50 tahun yang merupakan bekas pegawai operasi kanan Al-Qaeda ditahan di Selangor pada 13 Oktober lalu.

Ujarnya, suspek yang bekerja sebagai pengurus eksekutif di sebuah syarikat swasta telah bersama Al-Qaeda semasa berada di Afghanistan dari tahun 1988 hingga 1993 dan pernah berjumpa pemimpin kumpulan itu, Osama Laden.

“Suspek turut menggunakan dokumen perjalanan palsu untuk menyusup masuk ke Kanada, Azerbaijan dan Pakistan sebelum ditangkap dan di penjara di Kanada serta Mesir atas kesalahan menggunakan dokumen perjalanan palsu dan terlibat dalam aktiviti keganasan.

“Difahamkan polis masih melakukan soal siasat untuk mengetahui sama ada terdapat pengikut-pengikut Al-Qaeda lain­­ yang bersama dengan suspek di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataannya memberitahu, selain bekas ahli Al-Qaeda, turut ditahan ialah dua warga tempatan termasuk wanita yang menyalurkan dana kepada ketua militan Daesh Asia Tenggara, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi ditahan pada 13 Oktober hingga 26 Oktober lalu.

Beliau memberitahu, wanita berusia 32 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu terlibat menyalurkan dana kepada Muhammad Wanndy bermula tahun 2014 hingga 2017 untuk tujuan keganasan.

“Sementara itu, suspek lelaki berusia 40 tahun yang ditahan di Kota Kinabalu, Sabah pula merupakan seorang pengurus perkhidmatan di sebuah syarikat telekomunikasi yang turut terlibat menyalurkan dana pada Muhammad Wanddy, Muhamad Fudhail Omar serta kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina pada 2015 hingga 2018.

Mohamad Fuzi menjelaskan, seorang lagi suspek berusia 31 tahun yang berasal dari Asia Barat ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 Oktober lalu dan pernah terlibat dengan kes ugutan bunuh terhadap seorang diplomat asing di ibu negara.

“Suspek terakhir yang merupakan warga Pakistan berusia 31 tahun dan bekerja sebagai buruh ditahan pada 25 Oktober lalu di Sitiawan, Perak dan pernah terlibat dengan kumpulan pengganas Lashkar-e-Taiba yang berpangkalan di sebuah negara di Asia Selatan.

“Suspek juga pernah menjalani latihan ketenteraan di kem kumpulan pengganas Lashkar-e-Taiba dan telah menyusup masuk ke dalam negara sejak Ogos 2016,” katanya.

Tambah Mohamad Fuzi, empat suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Ke­salahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) manakala seorang lagi suspek ditangkap di bawah Akta Imigresen 1959/1963. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *