Home » Langit Terbuka » Peguam, NGO muslim sokong pindaan Akta 355

Peguam, NGO muslim sokong pindaan Akta 355

KUALA TERENGGANU 31 Julai – Para peguam Islam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ne­geri ini sepakat menyokong penuh pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi memartabatkan bidang kuasa mahkamah syariah di negara ini.

Dalam masa yang sama, mereka mendesak pihak tertentu terutama DAP agar jangan sekali-kali cuba menjadikannya sebagai isu politik selain memutar belit perkara itu sehingga menimbulkan kekeliruan dalam soal perundangan yang berkait dengan umat Islam.

Malah mereka turut meng­ingatkan bahawa sesiapa sahaja yang menentang pindaan rang undang-undang berkenaan adalah satu kesalahan syariah apabila mereka seolah-olah cuba tutup ruang dan kewajipan orang Islam.

Peguam syarie yang mewakili kumpulan itu, Mohd. Kamaruzaman A. Wahab berkata, pihaknya menyokong penuh RUU Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi memperkasakan bidang kuasa berkaitan kesalahan jenayah syarie.

Ini kerana, jelasnya, bidang kuasa sedia ada sudah lapuk dan tidak lagi relevan serta perlu dikaji dan dipinda bagi memastikan institusi mahkamah syariah dapat melakukan keadilan mengikut perspektif Islam.

“Kita dapati kadar denda yang tidak melebihi RM5,000 selain penjara tiga tahun dan rotan enam sebatan adalah hukuman yang sudah lapuk dan tidak menggerunkan pesalah syariah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir sebahagian pengamal undang-undang yang terdiri daripada para peguam syariah dan sivil serta wakil NGO Islam.

Mohd. Kamaruzaman berkata, di samping itu, selaras dengan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan mahkamah syariah mesti dihormati dan diperkasa bagi memelihara agama Islam kepada umatnya.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua ahli Parlimen agar bersatu seterusnya menyokong RUU itu dan pindaan rang undang-undang itu adalah selari dengan perlembagaan serta Rukun Negara.

“Kalau diteliti, cadangan pindaan RUU itu adalah di bawah bidang kuasa mahkamah syariah iaitu dari Akta 356 kepada Akta 355 dan ia tidak melibatkan hukuman mati. Ini bermakna pindaan ini tiada kaitan dengan hudud. Jadi, jangan takutlah, sebab hudud melibatkan hukuman mati,” jelasnya.

Beliau berkata, untuk langkah seterusnya, pihaknya akan bersama-sama NGO-NGO untuk turun padang sehingga peringkat akar umbi bagi memberikan penjelasan serta kesedaran kepada masyarakat mengenai keperluan pindaan rang undang-undang itu.

Seorang lagi wakil peguam, Ismail Mohd. pula berkata, RUU ternyata tidak mengikat orang bukan Islam memandangkan pindaan itu hanya memperuntukkan bidang kuasa mahkamah syariah khusus untuk orang Islam.

“Jadi, DAP jangan main isu ini dan jangan cuba putar belit (isu tersebut). Kami beri amaran, sesiapa yang menentang undang-undang ini adalah satu kesalahan syariah,” jelasnya.

– https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *