Home » Langit Terbuka » Peguam syarie disaran beri khidmat guaman percuma kepada B40, asnaf

Peguam syarie disaran beri khidmat guaman percuma kepada B40, asnaf

Peguam syarie disarankan menggunakan program tanggungjawab sosial korporat di pejabat guaman masing-masing dengan memberikan khidmat guaman percuma kepada golongan B40. - Foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee menyarankan para peguam syarie memberi khidmat guaman percuma kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan asnaf.

Syed Hussien berkata keutamaan perlu diberikan kepada golongan tersebut supaya dapat meringankan beban mereka yang menghadapi kesukaran hidup.

“Saya minta peguam syarie melihat kes melibatkan golongan B40 dan asnaf ini. Sekiranya mereka pergi berjumpa di pejabat guaman anda, peguam syarie berikanlah keutamaan kepada golongan asnaf ini. Janganlah ada ‘dollar’ and ‘cent’ (perlu dibayar).

“Kita faham kita bekerja sebagai peguam komersial tetapi apabila melibatkan golongan ini datang dan meminta pertolongan, jadi bantu mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan Bilangan Satu 2019 di Hotel Istana di sini.

Seramai 109 orang peguam syarie baharu ditauliahkan Sijil Amalan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan.

Syed Hussien berkata peguam syarie turut disarankan menggunakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di pejabat guaman masing-masing dengan memberikan khidmat guaman percuma kepada golongan tersebut.

Terdahulu, Syed Hussien ketika membaca teks ucapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata peguam syarie memainkan peranan penting dalam membantu melicinkan perjalanan sesuatu kes di Mahkamah Syariah.

Beliau mengingatkan peguam syarie agar sentiasa istiqamah dalam perjuangan menegakkan keadilan dan berusaha menghindarkan kezaliman, bukan hanya kemenangan kes semata-mata.

Katanya peguam syarie harus menjadikan peluang untuk berkhidmat dan membantu pihak yang teraniaya ini sebagai satu keutamaan dalam memperluaskan kecapaian keadilan kepada orang awam.

“Saya juga mengingatkan peguam syarie baharu ini agar dapat mewakili anak guam masing-masing dengan penuh amanah, komited menjalankan tugas dan berintegriti,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *