Home » Citra Yadim » Konsisten adakan program Rahmah

Konsisten adakan program Rahmah

SUNGAI PETANI – Program program berkaitan rahmah perlu diadakan secara konsisten untuk memberi penerangan dengan kerap kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kerajaan sedar isu berkaitan Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah adalah sesuatu yang berat untuk dibicarakan.

“Ia bukan cakap cakap santai kedai kopi, ia bertentangan dengan minda ramai yang lebih suka benda benda ringan untuk dibualkan.

“Jadi perlu kerap dan konsisten adakan program program berkaitan rahmah dan maqasid, supaya mesej nengenainya sampai kepada masyarakat,” katanya semasa merasmikan Konvensyen Rahmatan Lil Alamin di sini hari ini (25 Julai).

Program ini merupakan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Merbuk, Yang Berhormat Nurin Aina, Pegawai Agama Daerah Kuala Muda,Sheikh Noor Ismardi Ismail, serta Pengarah YADIM Kedah, Hafsah Husain.

Dalam pada itu Ismail berkata, mesej dan kefahaman itu perlu diketahui masyarakat kerana ia bakal menjadi dasar kerajaan.

“Ini adalah wajah kita tadbir urus kerajaan dan negara pada masa akan datang. Dua dasar ini hanya tunggu kertas kabinet, ujar Ismail.

Mengulas lanjut mengenai Rahmah, Ismail berkata pertimbangan asas Rahmah dalam konteks negeri Kedah ialah maslahah untuk semua.

Beliau memberikan contoh apabila kerajaan negeri membatalkan lesen pembalakan di Ulu Muda.

“Kita bercakap mengenai rahmah, dan inilah dia rahmah pada alam sekitar. Walaupun kerajaan negeri hilang hasil, tapi kalau kita tak batalkan, ia mengancam sumber bekalan air untuk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis,” jelasnya.

Justeru pada masa akan datang Ismail memberitahu, pihaknya sedia kerjasama dengan YADIM sekiranya mahu diadakan lagi program program rahmah selepas ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada YADIM atas penganjuran program pada hari ini.

Sementara itu Nik Omar dalam ucapan aluannya berkata, konsep rahmah perlu diamalkan bukan saja untuk hubungan sesama manusia, tetapi meliputi semua aspek kehidupan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *