Selain mengimamkan solat tarawih, mereka turut mengendalikan program-program kepimpinan, kelas fardu ain dan kelas mengaji al-Quran untuk komuniti setempat.

Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd. Nawawi berkata, program imam tarawih ke luar negara itu memasuki tahun ketiga dijalankan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Washington DC, sebuah persatuan muslim di Sweden iaitu Svenska Muslim for Fred dan Masjid Darul Imaan di Sydney, Australia.

“Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan membuka minda para pelajar kita, selain melatih mereka menjadi imam, mengajar agama dan menjalankan kegiatan dakwah kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Mereka yang terpilih merupakan pelajar terbaik kami yang memenuhi kriteria tertentu seperti mahir berbahasa Inggeris, berpengetahuan luas dan mempunyai tahap bacaan al-Quran yang baik kerana mereka bukan sahaja akan mewakili institusi Maahad Tahfiz di negara ini bahkan negara kita secara amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di MTNP, Tanjung Lumpur di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Datuk Zulkifle Ali Al Hafiz dan Pengurus Pendidikan MTNP, Mohamad Ismail.

Menurut Mahmud, selain menghantar pelajar menjadi imam di luar negara, pelajar MTNP turut menerima permintaan untuk mengimamkan solat tarawih di masjid-masjid sekitar daerah ini.

Sementara itu, seorang pelajar MTNP, Mohd. Hafiz Abdul Rahim, 19, yang bakal mengimamkan solat tarawih di Stockholm, Sweden berkata, peluang tersebut akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman, selain memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia telah dilatih menjadi imam tarawih di masjid sejak berumur 15 tahun, namun mengakui sedikit gemuruh untuk mengetuai solat tarawih di tempat asing dengan norma kehidupan masyarakat yang berbeza.-Utusan Online