Home » Langit Terbuka » Pelajar pondok perlu dibekal kemahiran vokasional, teknikal

Pelajar pondok perlu dibekal kemahiran vokasional, teknikal

Hasanuddin (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang mudir pondok pada Majlis Ijtimak Madani Ulama dan Umara 2024 di Dewan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di Kota Bharu hari ini. Foto oleh ROSMIZAN RESDI/KOSMO!

KOTA BHARU – Kemahiran kendiri dalam bidang vaksional dan teknikal perlu dibekalkan kepada pelajar di institusi pendidikan pondok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Mohd. Naim Mokhtar, berkata, usaha itu untuk melahirkan lepasan pondok yang bukan sahaja alim, tetapi turut menjadi rujukan masyarakat berdasarkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh.

Menurutnya, sehubungan itu, kerajaan akan sentiasa berusaha dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam di negeri bagi membantu dam melancarkan pengurusan pondok dan institusi pendidikan Islam.

“Banyak cabaran yang berlaku sejak kebelakangan ini dan banyak lagi yang akan bakal berlaku selepas ini. Ia menuntut perpaduan dan keikhlasan kita semua untuk menjaga Islam dan umat Islam.

“Adalah mustahak kepada para ilmuan semua untuk membetulkan salah faham sesetengah pihak berkaitan agama. Usaha-usaha bagi menyekat fahaman melampau dan ekstrem perlu digerakkan bersama-sama dan bersepadu,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus pada Majlis Ijtimak Madani Ulama dan Umara 2024 di Dewan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *