Home » Langit Terbuka » Pelaksanaan Imams dibatalkan

Pelaksanaan Imams dibatalkan

PUTRAJAYA 16 Dis. – Berikutan bantahan daripada pelbagai pihak, kerajaan hari ini mengambil keputusan untuk membatalkan pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (Imams) serta-merta.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, pembatalan tersebut dibuat berdasarkan maklum balas daripada orang ramai serta pengendali pakej umrah berhubung sistem tersebut.

Katanya, kementerian akan mengkaji semula mekanisme bagi memantau dan mengawal syarikat pelancongan serta pe­ngendali umrah daripada menipu para jemaah.

“Sistem Imams ini bagus tetapi aspek-aspek kos terlibat perlu diperhalusi kerana kita rasa ia terlampau mahal. Kita sebagai pihak yang prihatin tidak mahu rakyat terbeban daripada perla­ksanaan sistem ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Pelaksanaan Imams yang berperanan sebagai pemantau lesen khas umrah telah mendapat bantahan Pemuda UMNO hari ini.

Ahli Exco Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, pergerakan itu memahami keputusan kerajaan untuk me­ngatasi masalah penipuan umrah yang semakin berleluasa tetapi Imams bukan kaedah yang terbaik.

Beliau berkata, Imams bukan percuma malah mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM5.10 selain bayaran tambahan RM45 untuk sistem dan pengurusan serta RM40 (insurans) kepada setiap umat Islam yang hendak mengerjakan umrah.

Ditanya tentang langkah seterusnya, Rashidi berkata, kementerian akan mengadakan mesyuarat bersama pengendali pakej umrah serta pihak-pihak berkepentingan berhubung perkara melibatkan kerja-kerja pemantauan lesen khas umrah.

“Saya telah berhubung dengan Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung Imams ini dan beliau telah memberi maklum balas agar ia dibatalkan. Jus­teru, kementerian akan melihat semula sistem ini,” katanya.- UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *