Home » Langit Terbuka » Pelaksanaan Maqasid Syariah bantu pembangunan

Pelaksanaan Maqasid Syariah bantu pembangunan

PUTRAJAYA, 3 Ogos – Pelaksanaan Maqasid Syariah dalam pentadbiran negara telah berjaya memastikan ekonomi umat Islam terutamanya masyarakat Melayu tidak terus ketinggalan di belakang berbanding kaum lain di negara ini, kata seorang tokoh agama.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, konsep Maqasid Syariah mula ditonjolkan di Malaysia ketika penubuhan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang turut disertai beliau bagi memperkasakan orang Melayu atau umat Islam keseluruhannya dalam pembangunan ekonomi negara.

“Apabila ditubuhkan PNB, orang Islam tidak mahu menerimanya kerana dikatakan bahawa pelaburan itu tidak mencapai pematuhan syariah.

Tetapi kerana pada ketika itu, ekonomi orang Melayu tidak bergerak maka saya berpegang kepada  konsep Maqasid Syariah kerana pada ketika itu kita dalam keadaan darurat dan hukumnya harus bagi menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perdana Ulama Umara dan NGO Islam serta pembentangan Laporan Kajian Indeks Syariah Malaysia 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Agama Sepanjang Zaman kepada Harussani bagi mengiktiraf sumbangan beliau dalam menyemarakkan syiar Islam di Malaysia.

Maqasid Syariah menekankan lima prinsip iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta bagi menghasilkan maslahah (kebaikan) kepada umat dan mencegah kemudaratan.

Menceritakan lanjut, Harussani berkata ketika itu beliau mendapat pelbagai gelaran seperti ‘mufti harus’.

“Tapi Alhamdulillah PNB telah berjalan dengan baik dan kita telah pun buang perkara-perkara yang haram dan hanya tinggal sedikit sahaja lagi yang tidak mengikut syariah,”katanya.

Jelasnya, hasil penubuhan PNB, penglibatan orang Melayu dalam bidang ekonomi pada hari ini sudah meningkat dan PNB juga mempunyai berbilion pelaburan yang habuannya telah dirasai masyarakat Melayu.

Mengulas penerimaan anugerah tersebut,  Harussani yang sebak dengan penganugerahan itu mengakui bahawa kerajaan sejak kepimpinan terdahulu hingga hari ini telah berhubung erat dengan golongan agamawan dan sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan teguran mereka.

“Tetapi kita percaya ada perkara yang tidak mampu dilakukan kerajaan serta-merta tetapi mereka masih mendengar dan berusaha, dengan sebab itu kita juga boleh lihat indeks syariah sudah semakin meningkat, Alhamdulillah,” katanya.

Beliau turut memuji kepimpinan Najib yang terbuka untuk menerima pandangan beliau dalam memantapkan pembangunan orang Melayu.

“Pada 2007, beliau pernah meminta pandangan saya berkenaan sokongan Melayu yang telah lari daripada parti Barisan Nasional (BN) dan saya katakan bahawa masyarakat Melayu ketika itu marah dengan keadaan mereka yang tertinggal dari segi ekonomi, pembangunan dan pendidikan serta sebagainya.

“Oleh itu, kita harus ada pembangunan kepada orang Melayu dari segi ekonomi, pendidikan serta sebagainya dan inilah yang  telah diusahakan Najib sehingga ke hari ini,” katanya. –Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *